Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2323) BERNAMA – 06/01/2015 – Rampas Barang Jualan Peniaga Yang Naikkan Harga Barang Di Kawasan Banjir – LPKPM
06 Jan 2015

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Lembaga Pelindung dan Kebajikan
Pengguna Malaysia (LPKPM) meminta pihak berkuasa merampas barangan
jualan dan mengeluarkan saman ke atas peniaga yang menaikkan harga
secara melampau di kawasan terjejas banjir.
 
Presidennya, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu
bertindak sedemikian bagi memberi pengajaran kepada peniaga yang
mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan membebankan mangsa banjir.
 

“Diharap pihak berkuasa memperbanyakkan lagi operasi pemantauan dan pemeriksaan di kedai dan pasar.
 

“Jika harga barang naik 20 sen atau 30 sen kita boleh terima lagi,
tetapi harga yang dinaikkan itu mencecah dua kali ganda dan ini
melampau,” katanya pada sidang media di sini hari ini mengenai harga
barang yang naik mendadak di negeri-negeri terjejas banjir.
 

Beliau juga meminta orang ramai menggunakan hak mereka sebagai pengguna
dengan membuat aduan dan melaporkan kepada pihak berkuasa bagi
membanteras masalah itu.
 

Pada sidang media berasingan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan
berkata pengguna perlu bersikap
tegas dan tidak tunduk kepada perbuatan peniaga menaikkan harga barang
secara mendadak.
 

“Pengguna mempunyai kuasa besar untuk mengekang kenaikan harga dengan
memboikot dan memberi tekanan kepada para peniaga dan memaksa mereka
menurunkan harga kepada paras yang munasabah,” katanya.
 

Beliau menyelar tindakan peniaga yang masih menaikkan harga barang
walaupun harga minyak sudah diturunkan kerajaan berkuatkuasa pada 1
Januari lalu.
 

Pada sidang media itu, Nadzim turut merasmikan pelepasan konvoi enam
kenderaan yang membawa bantuan sumbangan Jawatankuasa Masjid Abu Ubaidah
Al-Jarrah, Setiawangsa, dekat sini untuk mangsa banjir di Pulau Tawar,
Jerantut, Pahang.

— BERNAMA 

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1098338