SPRM dalam kenyataannya berkata, semua sedia maklum bahawa pencerobohan secara haram bukan sahaja berlaku di Cameron Highlands dan Lojing, Kelantan, tetapi masalah sama juga dilaporkan di negeri-negeri lain.
“Masalah banjir juga diakibatkan oleh pembalakan sah yang tidak tersusun dan tidak dipantau rapi oleh agensi penguat kuasa,” kata SPRM dalam kenyataannya di sini hari ini.
SPRM sebelum ini telah mengemukakan 12 syor kepada kerajaan Pahang, antaranya penentuan dasar yang jelas berhubung pembangunan Cameron Highlands bagi memudahkan hala tuju penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Mingguan Malaysia Ahad lalu melaporkan penerokaan hutan sebagai punca yang menyebabkan bencana banjir terburuk dan tanah runtuh di beberapa negeri.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan memberitahu akhbar bahawa pembalakan yang berleluasa mempunyai kaitan dengan amalan rasuah.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), R. Ramakrishnan pula mencadangkan sistem penggiliran lokasi bertugas dilaksanakan terhadap pegawai di Pejabat Tanah dan Jabatan Perhutanan bagi menyekat perbuatan salah guna kuasa dan amalan rasuah.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob walau bagaimanapun menafikan banjir besar di negeri tersebut berpunca daripada kegiatan pembalakan yang tidak terkawal di Hulu Kelantan tetapi memberitahu bencana itu disebabkan hujan lebat yang berterusan di Gua Musang dari 21 hingga 23 Disember.
Mengulas tentang laporan Mingguan Malaysia itu, SPRM berkata, pihaknya akan menghubungi PPIM dan Reach bagi mendapatkan butiran lanjut tentang aktiviti pembalakan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan rasuah.
SPRM pada masa yang sama meminta semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyampaikan maklumat dan bukti aktiviti rasuah supaya tindakan boleh diambil.
“SPRM menghargai pandangan pelbagai pihak yang dikeluarkan menerusi media kebelakangan ini.
“Kami hanya boleh menjalankan siasatan terperinci jika ada maklumat yang tepat dan mencukupi,” kata kenyataan itu.