kawasan larangan serta had umur untuk membeli dan menghisap rokok elektronik atau vape.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, garis panduan itu dapat mengelakkan pertindihan bidang tugas dan penguatkuasaan jika operasi atau tindakan dilakukan sehingga boleh mewujudkan kekeliruan kepada pengguna.
Selain itu katanya, ia juga perlu untuk memastikan peraturan tersebut dipatuhi dan dapat dilaksanakan secara berkesan terutama melibatkan kawasan seperti hospital dan sekolah.
“Kerajaan juga perlu menubuhkan biro aduan terhadap individu yang didapati melanggar peraturan itu. Segala tindakan perlu pantas. Bukan seperti larangan yang dibuat terhadap rokok.
“Walau bagaimanapun, semua tindakan ini perlu dilakukan secara bersama supaya segala kelemahan dalam pelaksanaan undang itu dapat diketahui dan diperbaiki, “ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya menegaskan, kerajaan akan mengawal selia penggunaan rokok elektronik atau vape seperti mana yang dikuatkuasakan ke atas rokok termasuk dalam perkara berkaitan kawasan larangan serta had umur untuk membeli dan menghisapnya.
Sementara itu, Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan juga perlu menguatkuasakan larangan tersebut di institusi pengajian tinggi dan sekolah.
Beliau memberitahu, kedua-dua kementerian berkenaan dengan sokongan Kementerian Kesihatan sewajarnya membuat penyelarasan di segi tafsiran undang-undang antara rokok dan vape agar dapat diperbetulkan sebelum dikuatkuasakan.
“Pihak-pihak yang berkenaan perlu selaraskan dari segi tafsiran peraturan yang dikenakan ke atas rokok dan vape dalam konteks sekolah. Ia (vape) perlu diwartakan sama dengan rokok supaya peruntukan undang-undang larangan merokok turut dikuatkuasakan ke atas vape,” katanya
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, kajian perlu dilakukan terlebih dahulu untuk mengetahui kandungan dan kesan penggunaan vape terhadap masyarakat di negara ini sebelum pelaksanaan undang-undang dibuat.
“Kita tidak mahu ia akan mewujudkan diskriminasi di antara pengguna vape dan rokok jika kedua-dua nya boleh mendatangkan kesan yang hampir sama. Tetapi jika vape ada manfaatnya, kenapa kita perlu menolak?” katanya.