Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2403) AGENDA DAILY – 15/01/2015 – PPIM Sokong Penuh SPRM Pantau Tabung Banjir
19 Jan 2015

Merujuk kepada laporan media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara telah menubuhkan satu Jawantakuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir bagi memastikan pengurusan dana dan tabung banjir Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dikendalikan dengan telus dan bebas daripada penyelewengan.
Berdasarkan laporan media, Jawatankuasa itu antara lain akan menyiasat semua aduan dan maklumat mengenai penyelewengan dan salah laku dalam pengurusan dana dan tabung banjir.
PPIM menyambut baik usaha ini di mana mengikut pengalaman kami, ini kali pertama pendekatan sedemikian diambil. Lebih-lebih lagi banjir kali ini merupakan paling buruk sejarah negara ini.
Justeru, banyak perkara dan usaha diambil dan akan diambil berkaitan pengurusan banjir merupakan kali pertama bagi kita. Kita tidak pernah terfikir negara akan berhadapan dengan tragedi paling buruk seperti ini. Maka, kita terlepas pandang aspek integriti dalam pengurusan bantuan kepada mangsa banjir.
Dengan pembentukan Jawantakuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir, PPIM yakin bahawa akan wujud satu mekanisme bagi memantau penyaluran dan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.
Langkah proaktif ini patut disambut baik bagi memastikan penyaluran bantuan sama ada dalam bentuk wang ataupun bukan wang bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan dan salah laku. PPIM berharap, dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, tidak akan wujud unsur penyelewengan dan salah laku.
PPIM juga percaya SPRM, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara akan menyediakan garis panduan atau khidmat nasihat kepada pihak-pihak yang terlibat dalam penyaluran dana dan bantuan kepada mangsa banjir.
Sementara itu, PPIM berharap akan ada satu agensi atau pertubuhan sepusat dalam soal pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.
PPIM juga mencadangkan agar pembentukan kerjasama SPRM, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara ini dijadikan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) atau prosedur yang kekal apabila Kerajaan Persekutuan merangka SOP yang baharu berkaitan pengurusan tabung dan dana mangsa banjir.
Bermakna apabila ada tragedi dan musibah pada masa-masa akan datang, kerjasama seperti ini dijadikan komponen SOP dan fungsinya diaktifkan dengan serta-merta.
Malah, ini juga merupakan salah satu langkah yang baik bagi memupuk ciri-ciri integriti di kalangan rakyat negara ini dalam jangka panjang.

Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan
Naib Presiden Yayasan Anti Rasuah Kuala Lumpur Dan Selangor
Sumber : http://www.agendadaily.com/Email-Pembaca/ppim-sokong-penuh-sprm-pantau-tabung-banjir.html