Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2410) FREE MALAYSIA TODAY – 21/10/15 – JEREBU : MAJLIS FATWA DIDESAK BERSUARA
05 Dec 2015

Majlis Fatwa Kebangsaan didesak mengeluarkan fatwa yang jelas apakah hukum membakar hutan bagi mencari keuntungan sehingga membawa masalah kepada orang ramai.

fatwa

KUALA LUMPUR: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mengeluarkan hukum syarak kepada syarikat Malaysia yang terlibat membakar hutan di Indonesia sehingga menimbulkan masalah jerebu.

Desakan itu dibuat, Setiusaha Agung Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), Sheikh Abd Kareem Said Khadaied susulan masalah jerebu yang melanda negara ini sehingga membawa kesan buruk kepada rakyat.

Katanya, syarikat Malaysia yang terlibat dalam pembakaran hutan seharusnya dikeluarkan daripada senarai syarikat yang boleh menerima pelaburan Islam (Patuh Syariah).

“Maknanya kalau syarikat A ini membakar hutan, bermakna dia melakukan suatu perkara yang bercanggah dengan Islam, maka pelaburan dalam syarikat ini tidak perlu lagi dipanggil patuh syariah.

“Jadi kita perlu Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan garis panduan fatwa yang jelas apakah hukum membakar hutan bagi mencari keuntungan?”, katanya dalam sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Perkasa dan Patriot pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sheikh Abdul Kareem berkata, lebih sepuluh syarikat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti pembakaran tersebut termasuk anak syarikat milik kerajaan (GLC).

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat negara ini untuk memboikot produk syarikat yang terlibat.
“Produk syarikat terbabit perlu diboikot bagi memberi pengajaran. Malah satu gerakan nasional juga akan dibuat untuk memboikot syarikat terlibat dan ini masanya untuk kita bertindak,” katanya

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan mengheret syarikat yang terlibat ke mahkamah.

“Sekarang kita menyeru semua NGO-NGO dan orang ramai untuk memberi maklumat kepada kita mengenai masalah jerebu.

“Malah pihak kita juga akan berjumpa dengan peguam-peguam yang pakar dalam bidang ini sebelum membawa isu ini ke mahkamah,” katanya.

Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/10/21/jerebu-majlis-fatwa-didesak-bersuara/