Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2419) ARKIB BERITA PPIM – 23/12/2014 – ABNXCESS – PPIM Cadang Tubuh Suruhanjaya Insolvensi Bantu Individu Bankrap
20 Jan 2015

Nadzim Johan
KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menubuhkan satu Suruhanjaya Insolvensi bagi membantu individu bankrap keluar dari belenggu kebankrapan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata suruhanjaya itu perlu memandangkan senario kebankrapan yang semakin membimbangkan setiap tahun.
Terdapat banyak kes kebankrapan juga adalah bukan kerana hutang individu itu sendiri tetapi disebabkan penganiayaan pihak lain.
“PPIM menerima banyak aduan dari masyarakat yang mengatakan mereka tidak tahu telah bankrap dan hanya mengetahui mengenainya apabila nama mereka keluar dalam iklan surat khabar.
“Ramai antaranya tidak menerima pun notis daripada Jabatan Insolvensi dan ada juga kes yang diisytihar bankrap kerana ada individu lain telah menggunakan kad pengenalan mereka tanpa pengetahuan untuk membuat pinjaman kad kredit dan sebagainya,” kata Nadzim.
Sementara itu, Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan PPIM, Sheikh Abdul Kareem Said berkata kewujudan suruhanjaya itu boleh membantu mengatasi beberapa kelemahan dalam Jabatan Insolvensi.
“Misalnya, individu yang bankrap akibat penganiayaan pihak lain, Jabatan  Insolvensi tidak menyiasat terlebih dahulu, mereka terus membankrapkan pemiutang berdasarkan jumlah hutang daripada bank,” kata beliau.
Tambahnya tempoh untuk membebaskan diri mereka dari kebankrapan yang terlalu lama juga menyukarkan mereka kerana terlampau banyak kerenah birokrasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata baru-baru ini, seramai 12,381 individu diisytiharkan bankrap bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, 579 adalah individu dari kalangan belia berumur 25 tahun ke bawah.
Sumber : http://news.abnxcess.com/bm/2014/12/ppim-cadang-tubuh-suruhanjaya-insolvensi-bantu-individu-bankrap/