KUALA LUMPUR, 24 Disember 2015:

Dua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dipanggil polis hari ini bagi untuk diambil keterangan berhubung kejadian pergaduhan di Kompleks Kota Raya, Ahad lepas.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kedua-dua mereka dipanggil untuk diambil keterangan di Balai Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 4 petang tadi.
“Mereka kini masih di dalam balai polis sejak dipanggil masuk kira-kira jam 4 petang tadi.
“Ini tidak masuk akal, tetapi apa-apa pun, kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan rakyat untuk menentukannya,” kata beliau ketika dihubungi oleh The Rakyat Post.
Minggu lalu, satu insiden pergaduhan tercetus di Kompleks Kota Raya selepas sekumpulan pengguna berang dan mendakwa ditipu oleh peniaga telefon bimbit di kompleks terbabit.
Susulan pergaduhan itu, seorang penjaga parkir ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap lima individu.
Dia bagaimanapun mengaku bersalah dan dihukum penjara empat hari dan denda sebanyak RM1,800.