Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2475) KOSMO & BERNAMA – 03/02/2015 – Wujud Kumpulan Pakar Elak Peniaga Manipulasi
10 Feb 2015

KUALA LUMPUR (Bernama) — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kerajaan menubuhkan satu kumpulan pakar yang berperanan mengkaji harga barangan bagi mengelakkan peniaga memanipulasi harga sewenangnya.

Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma’amor Osman berkata penubuhan kumpulan itu amat diperlukan pada masa sekarang memandangkan harga barangan di pasaran berada di tahap tidak menentu berikutan turun naik harga minyak – petrol dan diesel.

“Kumpulan pakar ini boleh menentukan harga barangan pengguna, contohnya jika harga petrol turun sebanyak lima peratus, harga barangan juga perlu diturunkan sebanyak lima peratus.

“Kumpulan ini juga perlu membuat kajian apakah kesan harga barangan terhadap pengguna bila harga minyak naik atau turun, dengan ini pengguna boleh turut sama menentukan harga barang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Ditanya mengenai gesaan pengguna agar peniaga menurunkan harga barang, Ma’amor berkata ia (penurunan harga) memakan sedikit masa berikutan stok barangan dibeli ketika harga minyak masih tinggi.

“Untuk harga turun dalam masa terdekat ini agak susah, kerana kebanyakan peniaga masih menjual barangan import yang dibeli mereka dengan harga mahal kerana ketika itu harga minyak dunia belum jatuh, jadi penurunan harga barang ini akan mengambil masa,” katanya.

Sebagaimana pengumuman kerajaan, berkuat kuasa mulai semalam, harga runcit bagi petrol RON95 turun 21 sen kepada RM1.70 seliter; RON97 turun sebanyak 11 sen kepada RM2 seliter, sementara diesel sebanyak 23 sen kepada RM1.70 seliter.

Sementara itu, penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Prof. Mohd Hamdan Adnan berkata sewajarnya kementerian yang bertanggungjawab sudah bersedia dengan mekanisme tertentu untuk berdepan situasi tersebut.

“Selain tegas dengan tindakan yang diambil kementerian perlu tahu cara bagaimana untuk mengawal keadaan memandangkan harga minyak yang sukar diramal turun naiknya,” katanya.

Beliau berkata mekanisme itu juga katanya perlu mengambil kira faktor-faktor lain seperti keadaan cuaca dan permintaan serta penawaran untuk mengelakkan pengguna merasa teraniaya.

“Jika diambil contoh harga sayur dan ikan, faktor cuaca luar biasa dan kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini dilihat menjadi kekangan kepada peniaga dan pemborong untuk menurunkan harga,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek pula mengalukan-alukan cadangan daripada orang ramai serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) berhubung harga barang.

“Beri cadangan kita akan teliti dalam usaha mencari pendekatan terbaik kerana keharmonian semua pihak perlu dijaga termasuk pengguna, peruncit mahupun pemborong,” katanya.

Kementerian juga katanya akan mengadakan beberapa lagi siri pertemuan dengan pihak industri serta pemborong untuk mendapatkan kerjasama agar mereka turut sama menurunkan harga barang.

“Jika pengguna mempunyai bukti mengenai kedai atau peruncit mahupun pemborong yang menaikkan harga sewenangnya, buat aduan.

“Jangan sekadar cakap tanpa bukti, kalau ada bukti senang untuk kita bertindak,” katanya.

— BERNAMA