Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, keengganan pembekal barangan untuk menurunkan harga borong secara tidak langsung membuatkan golongan peniaga dan peruncit tidak berupaya untuk menurun­kan harga jualan barangan kepada pengguna.
“Kita (Mydin) berurusan dengan hampir 2,500 pembekal bagi mendapatkan pelbagai jenis barangan, namun daripada jumlah itu hanya dua pembekal yang sanggup serta bersetuju untuk menurunkan harga barangan mereka.
“Malah pembekal lain memberikan pelbagai alasan untuk tidak menurunkan harga barangan meskipun kita telah menyatakan kos operasi mereka telah turun hasil daripada penurunan harga minyak dan terbaharu elektrik,’’ katanya demikian dalam sidang akhbar Kempen Turun Harga anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kondominium Villa Pu­teri, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Setiausaha Agung Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR), Kamal Mustaffa dan Pengerusi Pengguna Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Jaapar Mansor.
Jelas Ameer Ali, malah ada segelintir pembekal terbabit mendakwa penurunan harga minyak hanya menyumbang 0.8 peratus terhadap penetapan harga barangan.
“Mereka juga menggunakan alasan harga barangan tidak boleh diturunkan berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sedangkan ia hanya akan dikuatkuasakan mulai 1 April ini.
“Mereka maklumkan bahawa mereka dalam proses untuk membuat kiraan harga barangan dan sebenarnya mereka berbuat demikian adalah kerana ingin mengekalkan margin keuntungan,’’ ujarnya
Tambahnya, pada hakikatnya, niat itu sebenarnya menjadi keutamaan sama ada cuba untuk mengaut keuntungan ataupun mahu melakukan sesuatu yang murni dengan menurunkan harga demi membantu rakyat.