Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2487) SINAR HARIAN – 18/02/2015 – KPDNKK Sedia Gempur Pembekal
18 Feb 2015

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menggempur kilang atau syarikat pemborong yang enggan menurunkan harga barangan keluaran mereka sebaik kementerian itu menerima laporan daripada pengguna atau peniaga kecil.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, bagaimanapun KPDNKK akan menyiasat terlebih dahulu laporan yang dibuat dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

“Kita tak boleh suka-suka gempur (pengilang) kita perlu siasat dahulu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas desakan persatuan pengguna, pemborong dan peruncit supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal yang bukan sahaja enggan bekerjasama menurunkan harga barang keluaran mereka malah makin menghimpit pengguna dengan menaikkan harga.

Desakan itu dibuat secara bersama oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pasar raya terkenal Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) dan My Hero Hypermarket, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia dan beberapa pertubuhan lain dalam satu sidang media di sini, semalam.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, daripada 2,500 pembekal barangan kepada pasar raya Mydin, hanya tiga pembekal memaklumkan akan menurunkan harga barangan mereka, selari dengan pengurangan kos susulan penurunan harga minyak.

Katanya, pembekal yang bersedia menurunkan harga barang ialah Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd (penurunan enam peratus), L’Oreal Malaysia Sdn Bhd (penurunan enam hingga 10 peratus) dan Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd (penurunan antara tiga hingga lima peratus).

Menurutnya, keengganan majoriti pembekal menurunkan harga barang dipercayai akibat kewujudan banyak kartel di peringkat pengeluar dan pengilang yang berpakat untuk tidak menurunkan harga barang.

“(Ekonomi Malaysia) bukanlah ekonomi terbuka seperti yang anda fikir, kalau terbuka dan kompetitif, semua orang akan berebut turunkan harga.

“Di peringkat peruncit memang kompetitif, setiap hari kami berlawan harga, tetapi di peringkat pengeluar tidak tahu macam mana,” katanya.

Mydin sejak 13 Februari lalu telah menurunkan harga sehingga 30 peratus bagi 50 barangan terpilih sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat itu kepada pengguna.

Katanya, peruncit seperti Mydin menggunakan mekanisme pass-through, iaitu pengurangan atau kenaikan harga barang yang dijual dibuat berdasarkan harga yang diterima daripada pembekal.

“Jadi untuk kita nak turunkan harga, ada dua cara, iaitu turunkan kos operasi dan yang paling mustahak, (pembekal) yang jual barang pada kita kena turunkan harga,” katanya.

Ameer Ali berkata, beliau turut menerima surat daripada 70 pembekal yang menaikkan harga barang walaupun selepas penurunan harga minyak.

Katanya, surat itu dikemukakannya semasa menghadiri mesyuarat antara pembekal dan peruncit bersama Hasan pada 10 Februari lalu.

Katanya, dalam mesyuarat itu, Hasan telah meminta pembekal mengurangkan harga barang namun sehingga hari ini, belum ada jawapan diterima daripada pembekal.

Pembekal enggan turun harga sebelum GST

Beliau berkata, dalam mesyuarat sama, pembekal memberi alasan harga barang tidak boleh dikurangkan walaupun selepas penurunan harga minyak kerana kos bahan api hanya meliputi 0.8 peratus daripada kos keseluruhan operasi.

“Tetapi dalam mesyuarat sama, ada (wakil peruncit) yang mempersoalkan mengapa semasa harga minyak naik sebelum ini, (peruncit) menerima surat daripada pembekal menyebut harga barang akan naik 10 hingga 15 peratus kerana alasan kos bahan api adalah 10 hingga 20 peratus daripada kos operasi?,” soalnya.

Selain itu, Ameer Ali berkata, cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April ini juga antara punca pembekal enggan menurunkan harga.

“Kami hanya menerima surat daripada dua pembekal yang menyatakan selepas GST, harga mereka akan turun.

“Ini kerana jika mereka (pembekal lain) beritahu kami (peruncit) sekarang (yang harga akan turun), kami akan berhenti membeli stok barangan daripada mereka sekarang (dan tunggu selepas GST untuk membelinya),” katanya.

Beliau turut mengingatkan pembekal supaya memainkan peranan dan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi negara dengan menurunkan harga barang pada masa sesuai.

“Apa pun yang kita buat, niat kena betul, jadi kita akan buat benda baik yang bagus untuk negara.

“Jika anda (pembekal) berada di negara ini, dan kebanyakan mereka adalah syarikat multinasional, hanya untuk ‘perah’ (keuntungan) daripada negara ini, sila berhenti. Cari negara lain,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun harga minyak telah turun, trend sama tidak dapat dilihat dalam harga barang.

“Malangnya dalam tinjauan yang kita buat, ada lagi produk yang tidak turun malah ada pengumuman kenaikan harga pula. Ada yang tidak kena.

“Jadi pengguna perlu beli barang di kedai-kedai yang jual harga murah dan perkhidmatan pada harga yang munasabah,” katanya.