KUALA LUMPUR, 17 Februari:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memantau dan memberi penjelasan bagaimana pembekal boleh menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG) bagi siinder 14 kilogram sedangkan harga minyak telah diturunkan.
Setiausaha Agung Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar), Kamal Musthaffa berkata pembekal bertindak sesuka hati dengan menaikkan harga LPG sedangkan pihaknya tidak boleh menjualnya melebihi harga siling yang telah ditetapkan kerajaan iaitu RM26.60 bagi silinder 14 kg.
Menurutnya, harga LPG yang dibekalkan pada 14 Februari lalu ialah RM25.10 setong manakala dua hari berikutnya naik kepada RM25.50 setong.
“Jadi kami meminta penjelasan daripada KPDNKK apakah rasionalnya pembekal boleh menaikkan harga bekalan LPG itu sedangkan harga minyak diturunkan.
“Kami juga dikekang dengan harga siling di samping kos operasi juga semakin hari semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kempen Kempen Turun Harga (Harga Patut) anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.
Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Ameer Ali Mydin dan Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Tambah Kamal, KPDNKK juga selama ini membuat kesilapan apabila berlakunya isu melibatkan kenaikan harga barangan di seluruh negara.
Jelasnya, kementerian selalunya bermula dari peringkat bawah iaitu peruncit sebelum naik ke atas untuk melihat kenaikan harga.
“Sepatutnya KPDNKK memeriksa dari atas iaitu pembekal kemudiannya pemborong dan akhir sekali baru peruncit bagi mengesan kenaikan harga barangan.
“Oleh itu, kaedah yang digunapakai oleh kementerian patut diubah dan tidak adil untuk menyalahkan peruncit sekiranya menaikkan harga barangan kerana kami hanya menjual barangan pada harga yang dibekalkan,” ujarnya.