KUALA LUMPUR, 17 Februari: 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mengadakan kolaborasi bersama dalam menentukan kadar caj perkhidmatan talian telefon bimbit di negara ini.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mahu satu pemantauan dibuat oleh pihak tersebut supaya pengguna tidak terus teraniaya dengan syarikat-syarikat telekomunikasi yang bernaung di bawah TELCO.
Menurutnya, mekanisme dalam mengukur kadar caj panggilan dan juga waktu perbualan ini penting kerana pada hari ini seolah-olah tidak ada pemantauan yang dibuat mengenainya.
“Untuk makluman kadar caj panggilan di negara ini adalah sangat tinggi berbanding dengan negara-negara lain.
“Mereka ini (syarikat telekomunikasi) sudah untung jutaan ringgit hasil daripada perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai dan tindakan mereka itu seolah-olah tidak ada sekatan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
“Saya hairan, mengapa perkhidmatan TELCO ini tidak dipantau dengan cara yang telus hingga mereka boleh mengenakan caj dengan sesuka hati,” katanya kepada The Rakyat Post.
Nadzim turut memberikan contoh bahawa penggunaan alat perangkap had laju yang digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipantau menerusi Akta Timbang dan Sukat bagi mengetahui alat itu berfungsi dengan baik.
Apa yang dilakukan terhadap alat perangkap had laju itu memang baik dan sepatutnya kaedah yang sama turut digunakan dalam mengukur kadar caj panggilan serta kadar waktu ini terhadap perkhidmatan telekomunikasi.
“Dalam hal ini juga, apa yang menjadi pertikaian adalah waktu perbualan pengguna semasa mereka menggunakan telefon bimbit.
“Mereka ini dikenakan waktu dan juga tempoh perbualan yang hanya dipantau sendiri oleh TELCO sedangkan kebenarannya tidak diketahui dan syarikat telekomunikasi ini boleh mengenakan caj dengan sesuka hati.
“Jika perkara ini dimasukkan menerusi Akta Timbang dan Sukat sudah tentu pengguna akan berpuas hati kerana ada satu badan penilai yang memantau setiap perkhidmatan yang mereka gunakan,” ujarnya.
Tambah beliau, pengiraan waktu oleh pengguna terhadap perkhidmatan telekomunikasi ini sangat penting untuk mereka mendapatkan hak dari ketelusan syarikat penyedia yang kini semakin diragui.
Nadzim berkata demikian mengulas laporan eksklusif The Rakyat Post bertajuk ‘Bongkar: Kenapa caj panggilan domestik mahal?‘ yang mendedahkan betapa pengguna terpaksa membayar kadar panggilan terhadap perkhidmatan itu dengan kadar yang mahal berbanding pengguna warga asing seperti Bangladesh.
Menurut sumber, rakyat Malaysia tidak sedar bahawa mereka telah dianaktirikan apabila khidmat bagi caj perkhidmatan talian prabayar (prepaid) oleh beberapa buah syarikat telekomunikasi sebenarnya mahal dan tidak masuk akal.
Sumber itu mendakwa, rakyat Malaysia seolah-olah sedang berdepan dengan satu senario diskriminasi tanpa disedari apabila kegilaan mereka terhadap gajet dan terlalu taksub dengan pengiklanan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan talian yang membuat pelbagai promosi sebenarnya memerangkap diri mereka sendiri.
Malah, tinjauan turut dilakukan di sekitar ibu negara mendapati penyedia perkhidmatan talian telefon bimbit berlumba-lumba membuat promosi perkhidmatan mereka sehingga ada yang meletakkan caj panggilan IDD serendah 0.06 sen bagi setiap minit.
Ini menyebabkan pengguna di Malaysia terpaksa membayar caj panggilan domestik setinggi RM0.36 sen seminit, sedangkan rakyat Bangladesh di Malaysia menikmati kadar RM0.06 sen bagi setiap minit untuk setiap IDD yang dibuat ke negara mereka.
Pautan video: