Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2497) THE RAKYAT POST – 27/12/15 – KES KOTA RAYA : BEGINIKAH CARA AKTIVIS BANTU MANGSA TIPU DILAYAN?
30 Dec 2015

kota raya 1
Berdasarkan maklum balas dalam laman sosial, ramai musykil mengapa kedai menjual telefon dan aksesori mempunyai bilik tahanan sebagaimana berlaku di Kompleks Kotaraya, Kuala Lumpur, baru-baru ini

KUALA LUMPUR, 27 Disember:

Berdasarkan maklum balas dalam laman sosial, ramai musykil mengapa kedai menjual telefon dan aksesori mempunyai bilik tahanan sebagaimana berlaku di Kompleks Kotaraya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Awang Selamat dalam kolumnya di Mingguan Malaysia berkata pekedainya bertindak mengurung pembeli sebagai strategi menekan agar mudah dimanipulasi serta ditipu.

Malah katanya, menurut maklumat, aduan pertama telah dibuat pada Jun lepas tetapi tiada tindakan hinggalah tercetus kekecohan ekoran tindak balas para pengguna.

“Alangkah baiknya jika pihak berkuasa dan polis dapat memberi tumpuan segera dalam menyiasat dan membongkar kegiatan pekedai tersebut.

“Lebih mengejutkan Awang apabila aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi yang mahu membantu mangsa penipuan dengan menuntut bayaran daripada pekedai, ditahan oleh polis,” katanya.

Jelas Awang, Yusuf tidak terlibat dalam kejadian sekumpulan lelaki menyerbu dan mengasari petugas di kedai berkenaan.

Beliau juga turut mempersoalkan cara pihak berkuasa melayan aktivis yang membela rakyat dan pengguna.

“Awang berharap polis tidak memberi mesej yang salah dan bercelaru kepada umum.

“Di banyak negara termasuk Indonesia, sesiapa yang membantu memerangi kemungkaran dan penipuan oleh peniaga, akan dihargai sepenuhnya laksana seorang wira sementara peniaga yang menipu dengan cepat didakwa.

“Tetapi di Malaysia, keadaan berbeza dalam kes di Kotaraya. Oh dunia,” katanya.


BACA: ‘Pengguna patut dilindungi, bukan sumbat aktivis dalam lokap’

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis memberi penjelasan mengapakah dua orang aktivisnya ditahan dan ditempatkan di lokap tahanan sedangkan mereka membantu pengguna yang ditipu oleh penjual yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata apa yang berlaku tersebut amat dikesali kerana PPIM bukanlah musuh kepada pihak polis sebaliknya membuat kerja membantu orang ramai yang ditipu sejak berpuluh-puluh tahun.

Sumber : http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/12/27/kes-kotaraya-beginikah-cara-aktivis-bantu-mangsa-tipu-dilayan/