PPIM dalam satu kenyataan memaklumkan, gesaan ini supaya pengguna tidak terus teraniaya kerana perlu membayar pelbagai perkhidmatan yang tidak diperlukan seperti mana aduan yang sering dikemukakan kepada pihaknya.
Kata PPIM, sebab itu, industri ini berada dalam senarai utama yang perlu diberi perhatian memandangkan caj telekomunikasi adalah antara senarai teratas dalam perbelanjaan isi rumah dan ada pengguna yang membelanjakan antara lima hingga 20 peratus daripada pendapatan untuk membayarnya.
“Kami menerima banyak aduan mengenai caj berlebihan atau caj perkhidmatan yang tidak diminta dan caj tanpa justifikasi. Pelbagai aduan pengguna merasakan mereka teraniaya dengan pelbagai jenis perkhidmatan tidak perlu,” kata PPIM.
Dalam kenyataan itu, PPIM turut menyambut baik saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini supaya caj telekomunikasi dikurangkan ekoran penurunan kos pemasangan talian gentian optik susulan kejatuhan harga minyak dunia.
Menurut kenyataan itu, PPIM pernah mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan sebuah badan atau suruhanjaya bagi mengawal caj yang dianggap tidak munasabah terhadap pengguna termasuk caj telekomunikasi.
PPIM turut menyarankan kepada SKMM supaya mewujudkan mekanisme kalibrasi atau ukuran bermeter yang dipantau dan disahkan oleh Akta Timbang dan Sukat atau Akta Telekomunikasi di samping membatalkan perkhidmatan terselindung serta aplikasi yang mengenakan caj tersembunyi.
“SKMM juga diminta memastikan syarikat telekomunikasi segera meningkatkan mutu perkhidmatan dan memperluaskan kawasan liputan masing-masing.
“Kami berharap pihak menteri akan menyinsing lengan dalam perkara ini dan pengguna tidak perlu melakukan usaha ala boikot sebagai bantahan kerana telah lama ‘diperguna’,” kata PPIM.