Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2530) THE RAKYAT POST – Pantau Penjawat Awam, Kerenah Birokrasi – PPIM, DUID
27 Mar 2015

ppimM
Datuk Nadzim Johan (dua dari kiri) dan Normah Abu Bakar (dua dari kanan) menggesa kerajaan menerusi TERAJU mempercepatkan proses pengagihan dana TERAS.

KUALA LUMPUR, 20 Mac:

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dewan Usahawan Industri Desa (DUID) Selangor menggesa kerajaan memantau penjawat awam dan dasar yang digunakan kerana terlalu banyak kerenah birokrasi.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dalam satu sidang media hari ini berkata, sehingga kini terlalu ramai peniaga yang tidak mendapat pembiayaan perniagaan seperti dijanjikan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
“Saya mendapat terlalu banyak aduan daripada pengusaha yang menyatakan permohonan mereka untuk mendapatkan Dana Syarikat Bumiputera Berpotensi Tinggi (Teras) tidak diuruskan dengan elok sehingga terpaksa menunggu selama lima hingga tujuh bulan.
“Tunggu selama lima hingga tujuh bulan itu pula bukan terus mendapat keputusan tetapi apabila ditanya, hanya mendapat jawapan sedang dalam proses penilaian.
“Penjawat awam yang ditugaskan untuk membantu pula dilihat tidak ikhlas bekerja kerana tidak langsung membantu apabila pengusaha bertanya.
“Mungkin mereka itu robot, bekerja tanpa hati dan perasaan, saya faham memang ada proses untuk mendapatkan dana berkenaan tetapi biarlah dalam tempoh yang sewajarnya dan penjawat awam pula diminta tidak memandang ringan tugas mereka,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.
Menurutnya, dengan kerenah sebegitu hanya akan menyebabkan beberapa pengusaha Melayu terpaksa gulung tikar kerana dana yang dijanjikan tidak ditunaikan.
Selain itu, Nadzim juga mendakwa hanya beberapa pengusaha sahaja yang berjaya mendapatkan dana berkenaan kerana mempunyai kepentingan dalam politik.
“Ini tidak adil bagi pengusaha lain kerana lebih ramai pengusaha yang layak tetapi permohonannya tidak dilayan, manakala pihak yang berkepentingan pula mendapat layanan yang sebaliknya,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan DUID, Normah Abu Bakar pula mempersoalkan ke mana perginya peruntukan sebanyak RM1.5 bilion seperti yang dijanjikan TERAJU kerana terlalu ramai pengusaha tidak mendapat dana berkenaan.
“Ke mana perginya dana itu dan bilakah TERAJU akan menyerahkannya kepada pengusaha? Untuk mendapatkan dana itu, pengusaha perlu membuat kertas cadangan bagi menunjukkan bukti perniagaan.
“Biasanya pula pengusaha terpaksa mengupah orang yang mahir antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk membuat kertas cadangan itu.
“Meskipun bertungkus-lumus, malangnya sehingga ke hari ini permohonan mereka masih tidak diluluskan,” katanya.
Menurutnya, TERAJU sepatutnya mengadakan perbincangan dengan persatuan pengusaha bagi mendapatkan nama pengusaha yang benar-benar mempunyai potensi untuk maju.
“Saya harap, pihak kerajaan meneliti luahan pengusaha ini kerana jika perniagaan mereka berjaya, ia juga akan membantu meningkatkan ekonomi negara,” ujarnya.
Sebelum ini, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyasarkan pengagihan sebanyak RM1.5 bilion menerusi Dana Syarikat Bumiputera Berpotensi Tinggi (Teras) bagi membantu syarikat Bumiputera berpotensi.
Sumber : http://bm.therakyatpost.com/bisnes/2015/03/20/pantau-penjawat-awam-kerenah-birokrasi-ppim-duid/