Beliau berkata, GST Malaysia dibuat berdasarkan kajian yang menyeluruh dan teliti serta mengambil masa lebih 35 tahun.
Katanya, kerajaan juga membuat keputusan dengan menstrukturkan semula sistem cukai berkenaan berbanding sistem percukaian GST yang dilaksanakan di negara-negara lain.
“GST di negara ini akan menge­cualikan cukai bagi banyak barang dan perkhidmatan seperti air dan barangan asas makanan.
“Perkara ini merupakan berita gembira untuk industri halal apabila kebanyakan bahan-bahan kandu­ngan seperti ikan, daging, hasil ternakan, sayur-sayuran diberi kadar sifar GST,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Halal Sedunia (WHS) 2015 di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Yang Dipertua Dewan Negara, Se­nator Tan Sri Abu Zahar Ujang; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Perbada­nan Pembangunan Perdaga­ngan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noraini Ahmad.
WHS 2015 berlangsung selama empat hari bermula hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pensijilan dan logo halal Malaysia kini diiktiraf dan diterima secara universal.
Katanya, kerajaan turut membangunkan 13 piawaian untuk industri halal bagi menepati kayu pengukur antarabangsa.
“Satu pencapaian yang signifikan untuk Malaysia adalah de­ngan menggunakan MS1500:2004 sebagai satu piawaian halal antarabangsa yang diiktiraf Codex Alimentarius Comission, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Piawaian ini adalah satu daripada rujukan halal di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menyediakan garis panduan dan diiktiraf antarabangsa dalam pelabelan produk-produk maka­nan,” katanya.
Tambah Najib, industri halal yang berkembang kini menjadi re­levan untuk negara-negara ASEAN yang kedudukannya terletak di Asia Pasifik dengan 62 peratus daripadanya merupakan penduduk Islam dunia.
Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia berminat untuk menggalakkan promosi dan pembangunan industri halal di rantau ini.
“Tiada lagi alasan kenapa ASEAN tidak boleh menjadi pusat dagangan halal yang mampu menyediakan keperluan pasaran di dalam dan di luar negara,” katanya.