KUALA LUMPUR, 23 April:

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan sindiket yang menawarkan kenderaan pada harga yang rendah.
Nasihat berkenaan diberi berikutan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar kegiatan sindiket kenderaan klon ekoran rampasan sebanyak 153 kenderaan di Terengganu baru-baru ini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, mereka terlebih dahulu perlu menyemak status kenderaan yang hendak dimiliki berkenaan kerana mungkin terdedah untuk membeli kenderaan ‘klon’.
Menurutnya, mereka perlu tahu bahawa memiliki kenderaan berkenaan bukan sahaja bakal berdepan hukuman daripada pihak berkuasa malah berbahaya kerana tiada perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan.
“Malah perbuatan mengambil hak orang lain juga menyebabkan mereka yang tidak terlibat akan terheret dengan pelbagai risiko bahaya.
“Ada segelintir pengguna yang sanggup mengambil risiko-risiko ini kerana mereka tidak faham kesannya kepada diri sendiri serta orang-ramai,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.
Tambah Nadzim, golongan berkenaan memandang remeh risiko yang bakal dihadapi semata-semata ingin memiliki kenderaan mewah sekaligus memberi keuntungan kepada sindiket.
Jelasnya, PPIM menggesa pihak berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar mengadakan program pendidikan bagi menimbulkan kesedaran pengguna serta mereka lebih faham mengenai isu berkenaan sebagai langkah jangka masa panjang menanganinya.
“PPIM akan terus menyokong usaha SPRM dan JPJ dalam membanteras isu ini supaya tiada lagi pengguna yang tertipu dan bersubahat dengan sindiket.
“Kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan berjaya menyelamatkan ramai pengguna daripada terus ditipu sindiket atau teraniaya apabila hak mereka disalahgunakan oleh pihak lain,” ujarnya.