Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2641) THE RAKYAT POST – 15/05/15 – Formula GST Kad Prabayar Tidak Jelas, Mengelirukan – Fomca
15 May 2015

KUALA LUMPUR, 15 Mei:
Formula ‘beli RM10 dapat RM10′ yang mana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas tambah nilai prabayar berdasarkan penggunaan atau ‘usage-base’ tidak jelas dan dilihat boleh mengelirukan pengguna.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata pihaknya bimbang sekiranya formula yang dipersetujui oleh kabinet tersebut benar-benar dapat melindungi hak pengguna.
Menurutnya, rata-rata pengguna ketika ini tidak mengetahui apakah bentuk mekanisme yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengenakan GST berdasarkan jumlah penggunaan tersebut.
“Setiap syarikat telekomunikasi (telco) mempunyai sistem dan kadar yang berbeza sama ada untuk panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga data Internet.
“Jadi, kita tidak tahu apakah mekanisme yang akan diguna pakai dan yang paling dibimbangkan ialah caj GST yang akan dikenakan nanti melebihi apa yang pengguna terpaksa bayar pada hari ini,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini hari ini.
Tambah Mohd Yusof, kebanyakan pengguna lebih cenderung kepada kaedah yang mana harga tambah nilai prabayar dijual pada harga RM10 termasuk dengan GST.
Jelasnya, mereka merasakan bahawa mereka membayar pada harga yang sama dan boleh menerima nilai kredit tambah nilai menjadi RM9.43.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata pengumuman yang dibuat oleh kerajaan itu merupakan satu keputusan yang ‘lembik’.
Ujarnya, tidak wajar sama sekali pengguna terpaksa menunggu sehingga enam bulan untuk membolehkan mereka membayar pada nilai formula baharu yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.
Katanya, kerajaan sepatutnya membuat keputusan yang lebih cenderung kepada pengguna atau rakyat terbanyak dan bukannya terlalu mengikut serta menyebelahi pihak pembekal.
“Syarikat telekomunikasi tidak boleh dibiarkan untuk mengambil kesempatan kerana perkara ini melibatkan kepentingan pengguna di negara ini.
“Kerajaan sepatutnya bertegas dalam perkara ini dan mengarahkan telco untuk melaksanakan formula berkenaan secepat yang mungkin dan bukannya menunggu selama enam bulan,” tegasnya.

Sumber : http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/05/15/formula-gst-kad-prabayar-tidak-jelas-mengelirukan-fomca/