Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2709) – UTUSAN – 24/06/15 – 18 NGO Bantah China Larang Umat Islam Berpuasa
24 Jun 2015

KUALA LUMPUR 23 Jun – Sebanyak 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan hari ini menyerahkan memorandum bantahan berhubung notis larangan berpuasa oleh kerajaan China ke atas umat Islam di wilayah Xinjiang kepada kedutaan negara itu di sini.

Memorandum setebal tiga muka surat tersebut diserahkan kepada wakil kedutaan China ke Malaysia pada pukul 11 pagi ini.

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, larangan tersebut merupakan satu tindakan biadab kerajaan China dan melanggar hak kebebasan beragama seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara itu.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan China yang secara dasarnya tidak menjaga sensitiviti lebih 1.4 bilion orang Islam di seluruh dunia.

“Ini merupakan pelanggaran hak asasi manusia, hak beragama dan kebebasan rakyat negara itu sendiri. Perkara ini tidak boleh kita terima dan kami mendesak supaya kerajaan China menarik balik larangan berpuasa kepada umat Islam di wilayah Xinjiang,” katanya kepada pemberita di sini.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Inspirasi Muhibbah India Muslim (IMIM), Sabarudin Abdul Rahman; Aktivis Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Zharif Johor Nadzim Johan; Presiden Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Datin Aminah Zakaria dan Presiden Persatuan Ulama Malaysia Wilayah Persekutuan, Dr. Mohammad Fauzi Zakaria.

Kerajaan China baru-baru ini mengeluarkan larangan berpuasa terhadap umat Islam di wilayah Xinjiang termasuk memaksa penjawat awam untuk tidak berpuasa serta menggesa anggota parti, penjawat awam, pelajar dan guru-guru supaya tidak menyambut Ramadan.

Tindakan tersebut diambil susulan daripada kejadian serangan ganas di wilayah berkenaan sejak tiga tahun lalu sehingga mengakibatkan beratus-ratus orang terkorban dengan Beijing mendakwa serangan dilancarkan oleh militan Islam.

Mengulas lanjut Mohd. Azmi berkata, larangan yang dikeluarkan kerajaan China itu hanya akan mengundang kepada penentangan dan konflik antara umat Islam dan pihak berkuasa di negara berkenaan.

“Kerajaan China sewajarnya tidak mengikut budaya barat yang menanam sikap takut akan Islam atau Islamophobia.

“Mereka sepatutnya mengamalkan sikap toleransi dalam menyelesaikan isu terutama yang melibatkan agama dan etnik,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/18-ngo-bantah-china-larang-umat-islam-berpuasa-1.106451