Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2907) #PPIM SARAN KERAJAAN TUKAR #BR1M KEPADA KUPON BELI BARANG ASAS
26 Oct 2015

Kerajaan digesa menggalakkan penerima Ban­tuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menggunakan dana itu untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan dan pakaian.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, antara kaedah yang boleh digunakan ialah pengeluaran kupon bagi membeli barangan keperluan hari­an itu bagi menggantikan pemberian wang tunai seperti sekarang.
Katanya, cara itu boleh mengelakkan penerima BR1M daripada membeli barang-barang yang tidak perlu sekali gus matlamat kerajaan untuk mengurangkan beban dan sara hidup rakyat dapat dicapai.
“Saya cadangkan BR1M tidak lagi diberi dalam bentuk wang tunai tetapi kupon yang boleh ditukarkan nilainya untuk membeli makanan seperti beras, tepung, gula, susu, pakaian sekolah anak-anak ataupun lampin bayi.
“Kita tidak mahu matlamat BR1M yang selama ini bertujuan membantu sara hidup bertukar menjadi gaya hidup kerana ada yang menggunakannya untuk membeli telefon bimbit atau kereta baharu,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenaikan jumlah bayaran BR1M yang diumumkan kerajaan melalui pembentangan Bajet 2016 semalam yang bertemakan ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’.
Kadar BR1M bagi isi rumah pendapatan bawah RM3,000 naik daripada RM950 kepada RM1,000, isi rumah pendapatan bawah RM3,000 hingga RM4,000 (naik daripada RM750 kepada RM800).
Individu bujang berusia 21 tahun ke atas pendapatan kurang RM2,000 pula menerima kenaikan BR1M daripada RM350 kepada RM400.
Sementara itu, kategori baharu dalam BR1M iaitu penerima e-kasih dengan pendapatan bawah RM1,000 layak menerima RM1,050, manakala Skim Khairat Kematian pula berjumlah RM1,000.
Sementara itu, Maamor berkata, PPIM turut menyambut baik langkah kerajaan menaikkan kadar gaji minimum mulai 1 Julai 2016 sebanyak RM1,000 di Semenanjung, RM920 (Sabah, Sarawak dan Labuan) dan RM1,200 untuk penjawat awam.
“PPIM menyokong langkah itu kerana ia bersesuaian dengan kos sara hidup yang semakin mening­kat ketika ini tetapi pada masa sama tahap produktiviti pekerja juga haruslah seiring dengan gaji mereka,” katanya. – UTUSAN