Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘PERJANJIAN’ DI BONET KERETA – HARIAN METRO – 07/02/2020
07 Feb 2020

RUMAHKU syurgaku. Demikian perumpamaan yang sering kita dengar untuk menggambarkan betapa gembiranya memiliki kediaman sendiri.

Sebaik selesai urusan menandatangani perjanjian membeli rumah, pasti pemilik sudah membayangkan rumah yang bakal diduduki itu.

Pelbagai perancangan dibuat termasuk susun atur dan proses ubah suai bagi mencantikkan rumah idaman.

Bagaimanapun, tidak semua mimpi indah menjadi kenyataan apabila rumah yang diharapkan itu terbengkalai.

Sudahlah rumah tidak siap dalam tempoh yang ditetapkan, pemilik pula terpaksa menanggung sengsara melangsaikan pinjaman perumahan setiap bulan.

Pada masa sama, pemilik perlu membayar rumah sewa yang diduduki sementara menanti rumah sendiri siap sepenuhnya.

Pemaju pula memberi pelbagai alasan sebelum meninggalkan pemilik rumah terkontang-kanting sendirian menanggung derita.

Perlambangan rumahku syurgaku bertukar kepada jatuh ditimpa tangga.

Timbalan Presiden Badan Bukan Kerajaan (NGO) K-LITERASI, Salkukhairi Abd Sukor berkata, projek perumahan terbengkalai adalah projek yang gagal disiapkan pemaju dalam tempoh perjanjian jual beli dan tiada sebarang aktiviti ketara di tapak pembinaan selama tempoh enam bulan secara berterusan.

“Bagaimanapun, sekiranya pemaju belum digulungkan dan pembinaan projek masih berjalan walaupun perlahan, ia tidak boleh dikategorikan sebagai projek terbengkalai, tetapi hanya dianggap sebagai projek bermasalah dan projek lewat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pengguna berdepan masalah rumah yang dibeli terbengkalai, mereka boleh menamatkan perjanjian jual beli itu dengan pemaju mengikut Seksyen 8A Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1967 (Pindaan 2015).

RUMAH terbengkalai berlaku selepas projek tidak dijalankan selama enam bulan.

“Bagaimanapun, pembeli perlu mendapatkan persetujuan bertulis daripada bank pembiaya dan sudah disahkan oleh pengawal perumahan.

“Pembeli boleh menamatkan perjanjian jual beli itu dengan menghantar Notis Pembatalan Perjanjian kepada ‘liquidator’ yang dilantik mahkamah.

“Biasanya syarikat yang bankrap, mahkamah akan lantik ‘liquidator’ untuk memegang segala aset dan liabiliti syarikat yang sudah digulungkan itu.

“Selepas perjanjian dibatalkan, pemaju hendaklah mengembalikan semua bayaran harga jual beli kepada pembeli dalam tempoh 30 hari dari tarikh penamatan perjanjian,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang juga peguam hartanah berkata, pembeli dinasihatkan supaya menubuhkan jawatankuasa bersama pembeli lain untuk bersama-sama mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah projek terbengkalai itu.

“Antara yang boleh dilakukan dengan jawatankuasa ini adalah berbincang dengan pihak bank untuk pelupusan atau penjadualan semula bayaran ansuran bulanan sementara keputusan rasmi dicapai dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Mereka juga boleh mencadangkan kepada KPKT untuk melantik pemaju baharu untuk mengambil alih dan meneruskan projek itu dengan kos ditanggung pemaju baharu tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan KPKT dan dipersetujui bersama oleh pembeli,” katanya.

SALKUKHAIRI.

Sementara itu, Ketua Aktvitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kesedaran dalam kalangan pengguna berhubung pembelian rumah masih rendah biarpun banyak kes membabitkan projek perumahan terbengkalai.

“Kebanyakan pembeli tidak terlalu mengambil berat soal perjanjian beli rumah. Kadangkala ada yang tandatangan perjanjian di bonet kereta sahaja tanpa membuat penelitian.

“Apabila perkara seperti ini berlaku, pembeli yang berdepan masalah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pembeli membuat kajian terperinci sebelum membuat keputusan membeli rumah.

“Pembeli perlu buat kajian berhubung latar belakang pemaju yang menjalankan projek terbabit. Pada masa sama dapatkan nasihat dan rujukan daripada pihak yang arif mengenai aktiviti jual beli rumah.

“Saya juga harapkan pihak berkaitan termasuk kerajaan dapat buat sesuatu dengan mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

‘PERJANJIAN DI BONET KERETA’

https://www.hmetro.com.my/PnP/2020/02/542319/perjanjian-di-bonet-kereta