Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HENTIKAN PENGAMBILAN PEKERJA MYANMAR -NGO – BERITA HARIAN – 29/11/2016
29 Nov 2016

29norazam.transformed

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menghentikan serta merta pengambilan pekerja Myanmar serta memboikot perniagaan warga negara itu sebagai tanda bantahan terhadap kekejaman ke atas etnik Rohingya. Gesaan lain termasuk menghentikan visa kemasukan pekerja Myanmar ke negara ini dan membatalkan Myanmar sebagai negara sumber. Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata dengan pembatalan visa itu, kerajaan dicadangkan mengeluarkan pas khas kepada pelarian Rohingya di negara ini untuk bekerja. Katanya, mekanisme itu bagi memenuhi keperluan tenaga asing di negara ini dan orang pelarian akan dapat meneruskan hidup sebelum mereka dihantar pulang. “Saranan ini wajar dikuatkuasakan dalam tempoh konflik dan mungkin kerajaan boleh pertimbangkan untuk tempoh tertentu iaitu enam bulan atau setahun,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Persatuan Anak Muda Islam Malaysia dan Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia di sini, hari ini. Dalam sidang media itu turut disiarkan dokumentari ringkas mengenai kekejaman yang berlaku di Myanmar terhadap etnik Rohingya. Noorazman berkata, seramai 143,623 warga Myanmar bekerja di negara ini sudah banyak menimbulkan pelbagai masalah sosial dan jenayah sehingga menimbulkan rasa tidak selesa rakyat tempatan. “Jadi jumlah itu perlu dikurangkan bagi memastikan negara ini yang majoritinya orang Islam kekal harmoni dan tidak terjejas,” katanya. Sementara itu, Penasihat Undang-Udang MHO, Hishamuddin Hashim, menawarkan khidmat guaman kepada warga asing khususnya Rohingya untuk mendapat hak mereka seperti bekerja, tempat tinggal dan keperluan asas lain. Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pula menggesa semua pihak supaya bersatu membantu nasib rakyat Rohingya. “Kita tidak boleh tunjuk lemah, tunduk dan takut kerana sebagai umat Islam harus bersatu menentang kekejaman yang melampaui batas, malah lebih teruk dari Israel. “Saya juga berharap pihak Istana selaku ketua agama Islam campur tangan dan bersuara dalam isu ini,” katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/218073