Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
623) BERITA PPIM : Setia Brothers keluar pil susu kuda liar
18 Sep 2012

Headline: Setia Brothers keluar pil susu kuda liar
Publication: BH
Date of publication: Sep 10, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Anwar Hussin
Kota Bharu: Keajaiban susu kuda liar yang menyelamatkan nyawa saudaranya daripada penyakit kanser, membuatkan seorang bekas pegawai polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur, tidak menoleh ke belakang lagi untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan produk itu.
Bekas Asisten Superintendan, Nek Abd Rahman Salleh, 56, yang juga dikenali sebagai `Lelaki Koboi’ kerana imejnya yang sentiasa bertopi koboi dan berseluar jeans berkata, ketaksubannya terhadap kuda juga menyebabkan menternak sejumlah kuda liar di sebuah pulau di luar negara.
“Apabila saudara saya sembuh daripada penyakit kanser selepas minum susu kuda liar, minat saya terhadap kuda semakin bertambah.
Perniagaan berasas susu
“Saya dan isteri, Norhayati A Rahim, menceburi bidang perniagaan berasaskan susu kuda liar pada 1996. Kami menternak sejumlah kuda liar di sebuah pulau di luar negara bagi tujuan mendapatkan susunya sebelum dijadikan makanan tambahan dalam bentuk kapsul yang dinamakan sebagai Niemans Feramilch Capsule,” katanya ketika ditemui BH di Kota Bharu, barubaru ini.
Produk berkenaan yang disifatkan alternatif kepada perubatan moden selepas diuji secara saintifik di makmal oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan hasilnya menunjukkan sel kanser yang dititiskan susu kuda liar berkurangan kira-kira 60 peratus.
Terima Pengiktirafan
Menceritakan mengenai kejayaannya mengorak langkah dalam bidang bioteknologi sejak 16 tahun lalu itu, Nek Abd Rahman yang juga Pengasas dan Penasihat Setia Brothers Sdn Bhd manakala isterinya, Norhayati, sebagai Pengarah Urusan, menegaskan individu yang ingin berjaya dalam bidang yang diceburinya perlu berfikir ‘di luar kotak’ dan mempunyai pengurusan masa yang strategik.
Beliau yang juga penerima Anugerah Inovasi Pusat Kecemerlangan Oxford (OXCELL), United Kingdom, pada tahun lalu, berkata, Niemans Feramilch sudah mencapai tahap piawaian yang ditetapkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Nek Man juga minat mendalam terhadap aktiviti sukan berkuda, juga menjalankan aktiviti berkaitan ekuin di Taman Pameran Pertanian Serdang (MAEPS) dengan mengadakan modul ekuin kepada mereka yang minat.
Sementara itu, Ketua Laboratori Penyelidikan Kanser UPMMAKNA, Institut Biosains, UPM, Prof Dr Rozita Rosli mengesahkan UPM menjalankan kajian saintifik terhadap susu kuda liar pada 1997.
“Ketika itu, tiada kajian saintifik lain dilakukan terhadap kesan susu kuda kepada pesakit kanser dan UPM adalah perintisnya.
“Hasil kajian UPM mendapati perbandingan membabitkan empat jenis susu iaitu susu kuda liar, susu lembu, susu kambing dan susu manusia, membuktikan susu kuda liar adalah susu paling menyamai susu manusia dan mempunyai ciri penyembuhan terhadap penyakit tertentu.
“Fokus utama kajian adalah terhadap mekanisme tindak balas susu kuda baka Niemans bagi sel kanser iaitu dua jenis penyakit leukemia dan seterusnya terhadap empat jenis sel kanser iaitu kanser serviks, kanser ovari, kanser payu dara dan kanser usus.
“Dalam kajian in-vitro yang dilakukan di makmal terhadap sel leukemia dari manusia, antara 50 hingga 60 peratus pengurangan dapat dilihat dari segi jumlah kematian sel kanser,” katanya.