Menurut mereka, penganjuran ‘anugerah sinis’ itu didakwa bertujuan untuk mempertahankan hak pengguna.
Ketua aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, kedai kopi itu dicalonkan bagi anugerah berkenaan atas dakwaannya bahawa sebahagian wang mereka diperuntukkan kepada rejim Yahudi di Israel.


“Starbucks memperuntukan sebahagian keuntungan kepada rejim Yahudi sebagai sokongan mereka kepada perjuangan Yahudi. Yahudi juga bersubahat lakukan kezaliman.


“Mereka (Yahudi) membunuh bukan sahaja orang Islam tetapi kanak-kanak juga. Sebab itu kita letak mereka di bawah anugerah tiada kemanusiaan,” katanya pada sidang media di ibu negara semalam.


Nadzim juga berkata, mereka menamakan organisasi tersebut berdasarkan aduan yang diterima sebelum ini.


Malaysiakini telah menghubungi Starbucks Corporation melalui alamat emel yang diperolehi melalui laman starbucks.com.my bagi mendapatkan reaksi berhubung dakwaan berkenaan serta pencalonan untuk anugerah tersebut.


Tiada maklum balas diberikan setakat ini.


Selain anugerah OXK, PPIM semalam turut melancarkan Anugerah Organisasi Tidak Prihatin (OXP) bagi kempen ke atas organisasi yang didakwa menindas serta mendiskriminasi pengguna.


Bagi calon anugerah OXP, PPIM menamakan pasaraya Giant, pasaraya The Store, organisasi kewangan Bank Rakyat, firma Malaysian Building Society Berhad (MBSB), penyedia perkhidmatan televisyen berbayar Astro dan agensi tiket, Ticket Charge.


Bagaimanapun, organisasi yang dinamakan PPIM sebagai calon untuk Anugerah Organisasi Tidak Prihatin (OXP) melahirkan rasa “kurang senang” kerana dibariskan dalam senarai tersebut.


The Store misalnya berkata perkara dibangkitkan itu sebagai “kesilapan teknikal” cawangan pasarayanya sementara Giant pula berkata belum maklum berhubung perkara tersebut.


Malaysiakini masih cuba mendapatkan reaksi daripada syarikat lain yang dinamakan PPIM.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/212128