Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
649) ARTIKEL PILIHAN DARI HARIAN METRO 16/1/13-Amalan paling baik dalam Islam
16 Jan 2013

Byline / Author: Oleh Idris Musa
Salam adalah satu identiti dalam perhubungan sosial
masyarakat Islam, diucapkan tanpa mengira batas sempadan negara, warna kulit
dan darjat, malah dari dulu hinggalah ke hari ini, ia terus diwarisi menjadi
amalan walaupun sesekali ucapannya kedengaran agak ringkas.
Ucapan salam tidak seperti ucapan lain yang
bersifat sebagai adat dan kebiasaan, tetapi lebih daripada itu sebagai satu
amalan yang sangat dituntut supaya diamalkan kerana di dalamnya terangkum doa
kesejahteraan dan kerahmatan Allah, malah tersirat dengan paduan persaudaraan
dan keakraban sesama Muslim.
Secara literal salam adalah istilah dipinjamkan
daripada bahasa Arab, terbina daripada huruf sin, lam dan mim yang bermaksud
ucapan selamat sejahtera manakala ungkapan ‘Assalaamualaikum warahmatullah’
bermaksud selamat sejahtera dan rahmat Allah ke atas kamu.
Kesempurnaan motif dan falsafah pada amalan salam
berpaksikan kepada wahyu Ilahi ini sangat berbeza dengan ucapan ringkas lain
seperti ‘hai’ atau ‘hello’ yang menjadi budaya sesetengah masyarakat.
Al-Quran ada mengungkapkan mengenai salam pada
beberapa surah, menunjukkan betapa pentingnya ucapan itu dan keutamaan
mengamalkannya. Antaranya pada ayat 58 surah Yaasin bermaksud: “Mereka
juga beroleh ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”
Kemudian, pada ayat 79 surah as-Saaffaat bermaksud:
“Salam sejahtera kepada Nabi Nuh di kalangan penduduk seluruh alam!”
Sementara ayat 109 surah yang sama bermaksud: “Salam sejahtera kepada Nabi
Ibrahim!”
Malah, Nabi Muhammad SAW juga secara
terang-terangan menganjurkan umatnya mengucapkan salam dan menyebarkannya dalam
kehidupan bermasyarakat kerana melalui salam akan terbitnya ikatan persaudaraan
dan sifat kasih mengasihi sesama Muslim baik yang muda mahupun tua.
Contohnya dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA
katanya, Rasulullah bersabda (maksudnya): “Kamu tidak akan memasuki syurga
sehingga kamu beriman. Dan tiada beriman sehingga kamu kasih mengasihi. Mahukah
kamu aku tunjukkan suatu perkara, jika kamu membuatnya nescaya kamu akan kasih
mengasihi! Sebarkan salam antara sesama kamu.” (Hadis riwayat Muslim).
Antara syiar Islam
Nabi SAW juga mengkategorikan salam sebagai amalan
paling baik dalam agama. Ini sebagaimana hadis diriwayatkan Imam Bukhari,
Muslim dan Nasa’i daripada Abdullah bin Amru Ash RA (maksudnya):
“Bahawa seseorang bertanya Rasulullah SAW,
manakah yang paling baik dalam Islam? Rasulullah bersabda: “Kamu berikan
makanan dan kamu mengucapkan salam pada orang yang kamu ketahui dan kepada
orang yang kamu tidak ketahui.”
Ulama menegaskan salam satu daripada syiar Islam.
Melalui amalan itu mencerminkan kesepaduan dan muafakat masyarakat Islam,
biarpun ia diungkapkan antara dua pihak yang saling tidak mengenali satu sama
lain.
Pernyataan di atas menunjukkan anjuran, gesaan dan
kelebihan mengucapkan salam walaupun terhadap mereka yang tidak dikenali selagi
mereka beragama Islam. Tetapi bagi kita sendiri, sejauh manakah kita
mengamalkannya dan sepakat menyemarakkan amalan digesa Rasulullah SAW itu?
Ada segelintir kalau kita lihat mungkin dia petah
tutur katanya, berjela-jela bercerita, malah ada pula pantang orang bercakap,
cepat saja menyampuk, tetapi apabila terjumpa dengan rakan, contohnya di
jalanan mahupun majlis tertentu kelu lidah untuk mengucapkan salam?
Malah, ada yang kata sementelah hendak memberi
salam, pandang dan tengok muka pun tidak. Berat sangatkah salam, susahkah untuk
melafazkannya, maklumlah di dalam bahasa Arab atau kita memang jenis kelompok
sedikit pemalu, pendiam dan tidak suka bertegur sapa?
Jika kita luaskan sedikit dimensi, melihat kepada
budaya ucapan dan hormat-menghormati masyarakat lain, misalnya orang Thai,
mereka mengungkapkan ‘sawasdee krub’ merujuk kepada selamat sejahtera. Ada
ketika kita berasa tersipu-sipu kerana mereka lebih cepat menyampaikan ucapan
itu walaupun kita tidak dikenalinya.
Demikian juga etnik bukan Islam dari negara Asia
Tenggara lain yang mempunyai budaya diperturunkan nenek moyang mereka seperti
tunduk merendah diri apabila bertemu dan bertamu, sekali gus menunjukkan sikap
ramah dan penerimaan mereka apabila bertemu antara satu sama lain.
Suburkan salam
Masing-masing mempunyai gaya dan tema ucapan
tersendiri, cuma yang berbeza tahap amalannya. Walaupun ucapan salam yang
dititipkan Islam terbukti lebih syumul dan mendapat keberkatan, malah dari skop
umum ia lebih meluas, tetapi jika tidak disuburkan, ia tidak ke mana jua.
Pada zaman ledakan teknologi maklumat ini, kita
agak beruntung kerana ucapan salam turut disampaikan melalui aplikasi
elektronik termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sembang Internet
walaupun sering kali dijelmakan dengan akronim seperti ‘slm’, ‘s.l.m’ atau
‘akum’.
Sebenarnya salam wajar diamalkan dengan lebih
meluas termasuk ketika mahu memasuki rumah, dalam aktiviti keramaian dan
perhimpunan, mesyuarat, kelas mahupun kuliah pembelajaran dan hari ini kita
boleh berbangga kerana kanak-kanak seawal usia sekolah rendah, bahkan di
peringkat tadika sudah didedahkan dengan budaya salam.