Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
700) BERITA: Nur Alert perlu hebahan
20 Feb 2013

Publication: Harian Metro
Date of publication:
Feb 12, 2013
Page number: 016
Byline / Author:
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi.
Kes kehilangan
kanak-kanak sama ada membabitkan jenayah atau kecuaian berlaku saban tahun,
namun usaha membendung kejadian itu masih gagal hingga hari ini. Ikuti pendapat
dan saranan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri
Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia
(LKPJM) Datuk Nadzim Johan mengenai isu ini bersama wartawan Harian Metro,
Intan Mas Ayu Shahimi.
S: Mengenai
peningkatan kes kehilangan kanak-kanak di negara ini, apa komen anda?
Lee: Berdasarkan
laporan media, kes kehilangan kanak-kanak meningkat serius saban tahun. Isu ini
wajar diberi penekanan serius oleh semua pihak terutama ibu bapa supaya dapat
ditangani dengan baik.
Nadzim: Anak
tanggungjawab ibu bapa. Bagaimanapun, kes kehilangan mereka bukan saja berkait
dengan kecuaian ibu bapa, malah turut membabitkan masyarakat. Masyarakat hari
ini terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga lupa menjaga tepi kain orang
sekeliling.
S: Ramai yang
menganggap kejadian seperti itu disebabkan kecuaian ibu bapa, sebenarnya salah
siapa?
Lee: Kita harus tahu
punca mengapa kanak-kanak cenderung menjadi mangsa. Ada kes memang membabitkan
kecuaian ibu bapa terutama meninggalkan anak kecil dalam kenderaan tanpa
pengawasan dan lalai ketika keluar beriadah atau membeli-belah. Namun begitu,
masih ada faktor sampingan yang menyumbang kepada peningkatan kes seperti
pengaruh rakan sebaya, lari mengikut kekasih, kurang perhatian keluarga, berasa
tersisih dan tidak berminat untuk belajar.
Nadzim: Jika cuai,
itu memang salah ibu bapa, tetapi masyarakat juga mempunyai peranan mendidik
yang sama penting dengan penjaga. Kalau diperhatikan, masyarakat sekarang
bersikap ambil mudah dengan perilaku golongan muda. Apabila melihat kanak-kanak
berbasikal sendirian di tengah malam atau merayau di khalayak, mereka tidak ada
budaya bertanya.
S: Siapa sepatutnya
memainkan peranan membantu?
Lee: Peranan paling
besar di pihak ibu bapa. Bagaimanapun, ia perlu disokong dengan pendidikan
bersesuaian di sekolah, masyarakat, agensi berkaitan, kerajaan dan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO). Sekolah menjadi tempat rujukan kedua selepas ibu bapa
boleh mengambil inisiatif memperkenalkan latihan seni mempertahankan diri untuk
melengkapkan murid dengan kemahiran tertentu.
Nadzim: Masyarakat
kena prihatin. Kita mempunyai tanggungjawab untuk turut memantau pergerakan
mereka sementara pihak berkuasa seperti polis menjalankan tugas menjaga
keselamatan.
S: Sejauh mana
keberkesanan talian NUR Alert?
Lee: National Urgent
Response Alert System atau Sistem Nur Alert berupaya memberi manfaat besar
kepada masyarakat. Bagaimanapun, sistem ini memerlukan lebih banyak publisiti
supaya lebih ramai mengetahui fungsinya sebagai medium penyebaran maklumat
secara pantas dan meluas mengenai kes kehilangan kanak-kanak berumur bawah 12
tahun.
Nadzim: Mungkin
hanya 20 peratus saja masyarakat kita yang tahu mengenai peranan NUR Alert.
Rakyat sebenarnya sudah terlalu sinonim dengan peranan polis. Jadi, apabila
berlaku jenayah , mereka tidak terfikir saluran lain.
S: Apa strategi
terbaik untuk mencegah peningkatan kes kehilangan kanak-kanak pada masa depan?
Lee: Aspek
pendidikan dan kesedaran perlu diberi penekanan. Sudah sampai masanya kita
mengingatkan ibu bapa mengenai peruntukan dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Akta itu
menyebut mana-mana orang (termasuk ibu bapa) yang cuai, mengabai atau
menganiaya kanak-kanak atau menyebabkan kanak-kanak cedera, mati atau
mendedahkan mereka kepada risiko yang menyebabkan kecederaan dan mati, boleh
dihukum, malah ia turut menekankan kesalahan meninggalkan kanak-kanak tanpa
pengawasan orang dewasa yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000
atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Nadzim: Selain
menyedarkan ibu bapa dan penjaga mengenai peranan mereka, masyarakat sebenarnya
perlu memainkan peranan terutama dalam menggerakkan kempen kesedaran.