Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
748) MAJLIS PEGUAM JANGAN MENGUSUTKAN ISU PERKAUMAN
29 May 2013

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris)
menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang
meminta agar Majlis Peguam memberi tumpuan kepada kebajikan ahli-ahlinya. 
Penasihat Pewaris, Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, cadangan
itu amat relevan untuk dilaksanakan kerana sejak akhir-akhir ini Majlis Peguam
sering mencampuri urusan melibatkan isu perkauman dan keagamaan sesuatu kaum
yang sepatutnya tidak dibincang dan dipertikai secara terbuka.
”Contoh yang paling jelas ialah penganjuran Forum Memeluk
Islam yang boleh dianggap sebagai melampau sehingga menimbulkan satu provokasi
di kalangan umat Islam pada waktu itu.
”Saranan yang dikemukakan oleh Persatuan Peguam Muslim itu
perlu disambut baik oleh semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di
Malaysia,” katanya dalam kenyataan daripada Sekretariat Pewaris di sini hari
ini. 
Semalam, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri
Abu Zahar Ujang menyarankan Majlis Peguam dibubarkan jika ia hanya berminat
membincangkan isu-isu politik negara.
Menurut Ahmad Zaki, Majlis Peguam sering mencampuri urusan
Islam apabila bukan hanya bercakap tentang hak asasi Islam tetapi lebih kepada
mempertikaikan prinsip Islam.
”Malah dalam banyak keadaan, Majlis Peguam cuba mengajar
orang Islam tentang agama Islam contohnya mendesak orang Islam supaya memilih
pandangan liberal,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya tidak mahu perkara yang sering
dibangkitkan oleh Majlis Peguam sejak akhir-akhir ini bakal mencetuskan
kemarahan di kalangan kaum di Malaysia sehingga mengulangi tragedi 13 Mei 1969.
”Sebagai masyarakat majmuk kita tidak memerlukan
suara-suara sumbang yang mempertikaikan hak-hak dan keistimewaan sesuatu kaum
seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga mencabar
ketenteraman dan kemakmuran negara,” tambah Ahmad Zaki.
Katanya, kaum Melayu di negara ini juga sentiasa diingatkan
agar bersatu padu dalam mempertahankan isu bangsa yang sering dipertikaikan
oleh sesetengah pihak. 
”Ramai Melayu yang tersinggung dengan isu-isu yang
dibangkitkan oleh pihak tertentu sejak akhir-akhir ini tetapi tidak ramai yang
tampil untuk membela hak kaum Melayu.
”Masih belum terlambat lagi untuk kita membela hak dan
keistimewaan kaum Melayu yang telah termaktub dan jangan biarkan agenda pihak
tertentu memusnahkan keistimewaan yang telah diberikan kepada kita selama
ini,” katanya.