Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
751) BOIKOT BUKAN KEJAM TAPI MENCERMINKAN KEKUATAN UMMAH
29 May 2013

KUALA LUMPUR 28 Mei – Gabungan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) Islam menafikan dakwaan mengatakan tindakan pihaknya
memboikot beberapa produk syarikat milik kaum Cina yang dipercayai
menaja perhimpunan haram sebagai kejam.
Sebaliknya, menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan, tindakan memboikot itu adalah isyarat kepada
syarikat berkenaan agar berhenti memberikan sokongan kepada sebarang
bentuk perhimpunan haram.
“Saya hairan kenapa gabungan NGO Islam ini dituduh kejam memboikot
lapan produk terbabit sedangkan tentera siber DAP, Red Bean Army telah
melancarkan serangan memboikot produk milik bumiputera sejak 2011 lagi.
“Ini jelas terbukti dalam laman sosial Facebook dan beberapa blog
yang mengajak kaum tertentu memboikot produk roti Gardenia yang didakwa
milik UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 14 Mei lalu, Nadzim yang mewakili 85 NGO Islam menggesa rakyat
memboikot beberapa produk keluaran syarikat milik kaum Cina yang
dipercayai turut menyumbang dana bagi menjayakan perhimpunan haram.
Katanya, orang ramai boleh mengetahui senarai lapan produk itu dengan melayari laman web PPIM di http://ppim.org.my/.
Lebih keterlaluan katanya, apabila kumpulan Red Bean Army yang
dipercayai didalangi DAP turut mengatakan hasil jualan roti Gardenia
sebanyak 16 sen disalurkan kepada UMNO.
Tambahnya, kumpulan itu juga dikatakan menyerang kopitiam Original
Ipoh Old Town White Coffee yang didakwa milik isteri Perdana Menteri,
Datin Seri Rosmah Mansor melalui beberapa blog.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, serangan fitnah dan
pembohongan melalui alam siber yang dilancarkan Red Bean Army sangat
berbahaya dan menggugat keharmonian serta perpaduan di negara ini.
“Bayangkan apa perasaan kaum lain terutama Melayu jika fitnah yang
dilakukan Red Bean Army dengan menggesa kaum Cina memboikot roti
Gardenia dan bertukar kepada produk lain.
“Fenomena ini sangat merisaukan kita. Tindakan kita memboikot lapan
produk itu bukan berunsur perkauman, sebaliknya memberikan pengajaran
kepada syarikat yang dipercayai menyokong perhimpunan haram,” katanya.
Nadzim berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
digesa mengambil tindakan tegas dan proaktif ke atas serangan fitnah
dan pembohongan tentera siber Red Bean Army itu agar keharmonian serta
perpaduan negara sentiasa terpelihara.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga diminta menarik semula lesen penggunaan racun benzoyl peroxide yang terdapat dalam salah satu produk yang diboikot gabungan tersebut.