Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
776) RENCANA : UTUSAN MALAYSIA 14 JUN 2013-Rumah sudah siap, bolehkah pahat berbunyi lagi?
14 Jun 2013

Oleh DR. AHMAD ZAKI
ISMAIL
PILIHAN Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) sudah terlaksana, keputusannya sudah diperolehi sama ada ia
seperti yang diharapkan atau sebaliknya terpulanglah kepada kita menerimanya.
Seperti pertandingan dan sukan memang ada kalah dan menang.
Yang kalah perlu
sabar menerima kekalahan itu dan berusaha dengan lebih gigih jika ingin menjadi
pemenang di lain kali pula. Sebaliknya, yang menang pula tidak perlu mendabik
dada berhidung tinggi dan melupakan daratan.
Tertarik kepada
kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri
Abdul Wahid Omar yang pekat dengan nilai korporat dan menggunakan bahasa korporat
juga iaitu bahasa Inggeris seratus peratus bahawa beliau mempunyai rencana 100
hari untuk dilaksanakan.
Tahniah diucapkan
kepada beliau yang nampaknya amat memahami hasrat dan wawasan serta tujuan
pelantikan beliau oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mungkin juga beliau
beranggapan pemilihan beliau adalah kerana pencapaian hebat di Telekom dan
Mayban kerana itu mendapat pengiktirafan untuk memperkenalkan strategi-strategi
baru di JPM pula supaya JPM menjadi hebat dan perkasa.
Harapan semua kepada
Datuk Seri yang muda belia ini tidak lupa bahawa pemilihan beliau sebenarnya
adalah khusus mendokong agenda Bumiputera kerana beliau adalah orang Melayu.
Itu jangan dilupa sebab kata bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir
Mohamad – ‘Melayu Mudah Lupa’.
Pada beliau mungkin
bahasa itu biasa sahaja, tetapi kena mula perhatikan diri bahawa banyak orang
di atas sana sudah lupa di mana bumi yang mereka pijak dan lupa pula di mana
langit yang mereka junjung sehingga seperti kaduk pula jadinya.
Jangan fikir kita
terlalu hebat sehingga lupa bahawa yang menghebatkan kita itu adalah rakyat
marhaen yang berjuang memberikan kita peluang belajar, bekerja dan memperolehi
jawatan sedemikian rupa. Jangan pula lupa bangsa dan keperibadian diri dan
jangan pula tidak mempercayai bangsa sendiri.
Kita tahu prestasi
itu penting tetapi kalau tidak diberikan peluang kepada bangsa sendiri untuk
membuktikannya seperti yang berlaku sekarang sampai bila pun kita akan
diperlekehkan. Bukan oleh bangsa asing tetapi bangsa sendiri juga termasuk
mereka yang memperolehi jawatan sebab mereka berbangsa Melayu.
Kita sudahlah
terpaksa bersaing, dihimpit dan dikenakan pelbagai sekatan untuk meneroka
bidang-bidang yang sudah dikuasai oleh orang lain sekian lama. Lebih malang
apabila industri yang sepatutnya dikuasai oleh kita sendiri juga kita serahkan
kepada orang lain.
Contoh terbaik
adalah industri makanan dan produk halal, perbankan Islam dan juga takaful.
Sebagai orang nombor satu di Mayban satu ketika dahulu kita percaya bahawa
Datuk Seri tidak lupa hikayat Mat Salleh yang menerajui industri Etiqa Takaful
Berhad satu ketika tidak berapa lama dahulu. Kami yakin bahawa banyak iktibar
boleh kita pelajari daripadanya.
Bayangkanlah seorang
Mat Salleh boleh mengetuai industri Takaful agaknya hebat sungguh kefahaman
beliau dalam ilmu dan agama Islam atau orang Islam tidak memahami agama mereka
sendiri.
Selanjutnya, selepas
Raja-raja kita dihina dituruti pula Rasulullah pula jadi sasaran mereka. Tidak
lama dahulu mereka melempar najis mughallazah ke rumah dan surau serta masjid.
Babi seolah-olah menjadi simbolik penghinaan berterusan dan menjadi ayat yang
sungguh sedap digunakan untuk dipanggil kepada penghuni asal negara ini yang
memberikan peluang kepada mereka untuk menjadi apa yang sedang mereka nikmati
ketika ini.
Kalau kita sandarkan
hanya disebabkan PRU-13 perkara ini berlaku sebenarnya kita sudah tersilap.
Sebenarnya, ia bukan perkara baharu sebab semenjak sekian lama ia menjadi duri
dalam daging dan api dalam sekam. Ia meredap sekian lama, ditimbus dan disimpan
di bawah tikar oleh mereka yang berkuasa demi mengekalkan kuasa yang menjadi
dambaan mereka.
Walhal, sekiranya ia
diselesaikan awal lagi dengan tegas dan tidak terlalu apologetik sepertimana
yang dilaksanakan oleh semua negara lain di dunia termasuk Singapura, Indonesia
dan Thailand maka semua ini tidak akan terjadi. Pendek kata, pepatah menyatakan
sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.
Lihat sahaja apabila
mereka mula bersuara, adakah mereka pedulikan betapa terhiris dan luka perasaan
kita akibat kata nista yang mereka keluarkan. Apabila mereka memboikot dan
melaksanakan perniagaan double standard terhadap kita, memonopoli,
memperkenalkan kartel adakah kita melompat dan riuh rendah mengetengahkannya.
Kita diam, kita membisu dan menelan dengan pahit umpama perkahwinan bermadu.
Agenda kumpulan ini
sebenarnya tidak terhenti setakat ini. Percayalah pelbagai strategi dan langkah
sudah dan sedang di susun. Pelaksanaannya juga pelbagai cara dan pelbagai ragam
kerana itu kita perlu lebih peka dan sedia untuk mengorak langkah bagi
menangkis serangan itu dengan persiapan yang rapi dan kesedaran yang tinggi.
Meskipun rumah sudah
siap dibina, sudah mampu dipertahan dari gelora tetapi pahat di luar sana masih
berbunyi. Cubaan hebat sedang menunggu, anai-anai, pijat dan pelbagai parasit
sedang bersedia untuk menyelinap ke dalamnya andai kita tidak berusaha dan
memahami agenda utama memperkukuh ummah dan bangsa.
Setiap detik terleka
akan mengundang mala petaka kerana senario negara hari ini tidak lagi serupa
sebagaimana hari-hari sebelumnya. Kita sepatutnya sudah belajar dan menginsafi
duduk perkara dan bukannya terus hanyut dalam zon selesa.
Kepada yang diberikan
amanah, perlu berlapang dada dan mengkaji arah tuju dan sumbangan yang perlu
mereka berikan. Mereka ini sungguh bertuah kerana diberikan peluang tetapi
jangan mensia-siakan peluang yang diberi hanya untuk kepentingan diri dan
peribadi yang kononnya pencapaian hebat yang meletakkan mereka pada posisi ini.
Orang Melayu dan
bahasanya sangat teliti teratur dan kemas. Banyak yang beralas dan berkias
begitu juga amanah yang mereka beri selepas PRU-13 sangat jelas bahawa mereka
tetap boleh bersatu meskipun hati mereka tersentuh dan selalu dilupakan. Namun
bila perlu penyatuan, mereka tetap pilih UMNO dan Barisan Nasional.
Apakah itu mampu
dibuktikan oleh orang lain juga. Tak perlu lagi minta belas ihsan, pulangkan
kembali kehormatan bangsa kita, jalan terus ke depan biar dengan rasa bangga
dan tidak pula rasa terhutang kepada sesiapa.
Ini kalilah kita
ambil semula hak kita, ini kalilah juga kita belajar banyak perkara pada suatu
masa dan ini kalilah kita memperbetulkan untuk dulu kini dan selamanya.
PENULIS ialah
Penasihat Persatuan
Pengguna Islam
Malaysia (PPIM).
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130614/re_07/Rumah-sudah-siap,-bolehkah-pahat-berbunyi-lagi?#ixzz2WAWisR8y

© Utusan Melayu (M)
Bhd