Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
791) HARIAN METRO 25/6/13 – Kelentong dua `Datuk’
25 Jun 2013

Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: Bermodalkan alasan mahu membeli tanah
serta tawaran pelaburan bernilai RM3 bilion bagi memikat mangsa, dua lelaki
bergelar ‘Datuk’ dikesan aktif memperdayakan beberapa mangsa sekitar Lembah
Klang dan selatan tanah air.
Tidak cukup dengan tawaran keuntungan berlipat kali
ganda, lelaki terbabit juga menawarkan imbuhan lain termasuk membeli sebuah
bank konvensional hasil pelaburan di Filipina bagi menarik perhatian individu
yang mahu mendapat keuntungan mudah.
Taktik itu dikesan beberapa minggu lalu selepas
seorang pengadu dikenali sebagai Wati berusia 30-an membuat aduan kepada
Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana bimbang lebih ramai
menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan.
Wati berkata, dia dihubungi oleh kedua-dua lelaki
terbabit yang memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan yang mahu mencari
tanah untuk perniagaan berskala besar.
Mereka mengaku menjadi ejen, broker dan perunding
hartanah bagi memastikan helah mereka berhasil selepas mengaku pakar dalam
bidang berkenaan.
Mereka kemudian menawarkan saya menjadi rakan
kongsi pelaburan bernilai RM3 bilion sekali gus membolehkan mereka membeli
sebuah bank dan menjadi pemiliknya, katanya.
Menurutnya, selang beberapa jam selepas panggilan
pertama, kedua-dua lelaki berkenaan mula menunjukkan belang sebenar apabila
seorang daripada mereka turut mengaku kerabat diraja dan berhasrat membantu
usahawan Bumiputera di negara ini.
Katanya, pada peringkat awal, dia diminta
memasukkan RM5,000 ke dalam akaun peribadi ‘Datuk’ berkenaan tanpa diberikan
sebarang dokumen atau resit sebagai bukti pembayaran.
Saya pula mengajak seorang lagi rakan untuk
menyertai perniagaan itu dan sama seperti saya, tiada sebarang resit diberikan
selepas wang dimasukkan menyebabkan saya mula mengesyaki sesuatu.
Selang sehari, saya dihubungi lagi dan kali ini
mereka meminta wang tunai RM22,200 iaitu RM20,000 konon untuk urusan
pendaftaran dengan Bank Dunia manakala selebihnya untuk bayaran pendaftaran
syarikat, katanya yang membuat aduan kepada PPIM minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim
Johan (gambar) berkata, selepas menerima aduan itu, pihaknya mendapati wujud
persamaan dengan beberapa kes penipuan seperti itu.

Justeru kita meminta orang ramai jangan terpedaya
dengan penipuan sebegini, sebaliknya rujuk kepada pihak berkaitan seperti
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Bank Negara Malaysia jika mendapati
sesuatu yang meragukan, katanya.