Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
794) UTUSAN MALAYSIA 27/6/13-NGO bimbang pasar mini berjenama jejaskan peruncit kecil
28 Jun 2013

NADZIM Johan (duduk, dua kiri), Samsudin Mohamad Fauzi (duduk, kanan) pada sidang akhbar berhubung isu ah Long dan peniaga-peniaga runcit kecil di Kondominium Villa Puteri, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Jun – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) menyuarakan kebimbangan bagi pihak pemborong dan peruncit yang bakal
mengalami kerugian akibat hasrat pembukaan lebih banyak pasar mini oleh
rangkaian pasar raya besar, khususnya di kawasan perumahan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk
Nadzim Johan berkata, walaupun langkah pasar raya besar itu dilihat sebagai
satu usaha mewujudkan suasana persaingan secara sihat, namun strategi mereka
akan menjejaskan ekonomi peniaga runcit kecil-kecilan.
“Ini berikutan lambakan pasar mini berjenama akan
menyebabkan kedai runcit tidak lagi menjadi pilihan pengguna memandangkan harga
barangan ditawarkan rangkaian pasar raya itu lebih murah.
“Perbezaan harga berlaku kerana pasar mini merupakan
cawangan daripada perniagaan runcit yang beroperasi dalam skala besar dan mampu
membeli stok secara pukal, sekali gus memperoleh harga lebih murah berbanding
kedai runcit,” katanya dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini.
Katanya, bukan niat menghalang pasar raya besar mengembangkan
operasi perniagaan mereka tetapi biarlah dilakukan secara adil dan pada masa
sama tidak menjejaskan perniagaan runcit kecil-kecilan.
“Ini berikutan terdapat kira-kira 50,000 pemborong dan
peruncit di seluruh negara yang bergantung kepada perniagaan itu untuk mencari
sumber pendapatan,” katanya.
Katanya, walaupun pengguna memperoleh manfaat dari segi
pilihan barangan, namun kesannya dalam jangka masa panjang akan menyebabkan
pasar raya besar memonopoli rangkaian perniagaan runcit.
“Keuntungan yang pada mulanya boleh dinikmati oleh lebih
50,000 peruncit, akhirnya dimonopoli beberapa pemilik pasar raya besar,”
katanya.
Sehubungan itu, pihaknya meminta supaya kerajaan mengkaji
terlebih dahulu cadangan dan hasrat pasar raya besar itu sebelum membuat
sebarang keputusan.
Sementara itu, Pengerusi Pemborong dan Peruncit Muslim
Malaysia, Amanullah Maideen turut menyatakan kebimbangan bayaran sewa kedai
akan meningkat berikutan pasar mini tersebut menawarkan harga lebih tinggi
untuk mendapatkan lokasi perniagaan.
“Apabila kedai runcit berada di kawasan sama, sudah
tentu pemilik kedai juga akan mengenakan sewa mengikut harga semasa. Peniaga
runcit kecil-kecilan tidak mempunyai pilihan, terpaksa menaikkan harga
barangan,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta supaya pasar raya besar tidak
membuka cawangan pasar mini di lokasi yang telah mempunyai banyak kedai runcit.
Katanya, dari segi tawaran harga pula, pemilik kedai runcit
tidak ada masalah untuk menawarkan harga barangan lebih murah jika diberi
peluang membeli barangan secara pukal bersama-sama peniaga kecil yang lain.
“Namun disebabkan terpaksa membeli barang-barang
daripada pembekal pada harga lebih mahal daripada pasar mini, menyebabkan kami
tidak dapat menawarkan harga rendah kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur,
Samsudin Mohamad Fauzi berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara ini
kerana sekiranya syarikat besar dibiarkan memonopoli perniagaan runcit,
dikhuatiri akan membunuh ekonomi peruncit tempatan.
“Tidak mustahil suatu hari nanti harga barangan akan
dikawal oleh syarikat-syarikat besar yang menjalankan perniagaan runcit kerana
mereka memegang kuasa monopoli tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memberikan keadilan kepada semua pihak,
beliau meminta supaya syarikat-syarikat besar meneruskan operasi perniagaan
dalam skala besar menerusi pasar raya dan biarlah peniaga kedai runcit
meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan.