Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
812) UTUSAN MALAYSIA 8/7/13-Peniaga runcit terancam
10 Jul 2013

 

Sebahagian ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) berkumpul sebagai membantah kewujudan pasar mini yang dimiliki pasar raya besar di Seksyen 16 Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 7 Julai – Seramai 150 ahli Persatuan
Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) mengadakan demonstrasi di dua
lokasi berasingan di sini hari ini bagi membantah pembukaan rangkaian pasar
mini milik pasar raya besar terutama di kawasan perumahan.
Penasihat Mawar, Basir Ahmad berkata, demonstrasi itu
diadakan susulan memorandum yang dihantar pihaknya kepada kementerian berkaitan
sebelum ini mengenai perkara tersebut namun belum ada sebarang tindakan
memandangkan pasar mini terbabit masih beroperasi sehingga ke hari ini.
Menurutnya, tindakan pembukaan pasar mini milik pasar
raya besar itu dilihat akan mengancam para peniaga kedai runcit tradisional
yang telah membuka perniagaan sebelum mereka.
“Kami tidak menentang kewujudan pasar raya besar
tetapi apabila dibina dengan konsep seperti kedai runcit di kawasan perumahan,
ia telah menjejaskan punca pendapatan kira-kira 50,000 ahli Mawar di seluruh
negara.
“Kita akui kedai runcit bukan pesaing kepada
pasar raya tersebut, sekiranya kerajaan membiarkan perkara ini berleluasa, bukan
sahaja boleh menutup periuk nasi kami tetapi juga akan menyebabkan monopoli
perniagaan berlaku,” katanya kepada pemberita di Seksyen 16 di sini hari
ini selepas mengadakan bantahan di sebuah lagi pasar mini di Seksyen 7 di sini.
Yang turut hadir memberikan sokongan berhubung perkara
tersebut ialah wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM).
Sementara itu, aktivis PPIM, Muhammad Zharif Johor
berkata, pihaknya melihat persaingan yang berlaku di antara pasar mini yang
dimiliki oleh pasar raya besar itu sebagai satu tindakan halus yang boleh
mengakibatkan peruncit gulung tikar.
“Kerajaan seharusnya memberi peruncit ini peluang
untuk memajukan perniagaan mereka terutama dengan adanya program Transformasi
Kedai Runcit (Tukar) yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
“Kerajaan seharusnya prihatin dengan nasib
pekedai runcit tradisional seperti ini. PPIM khuatir peniaga runcit yang ingin
mengikuti program Tukar tidak sempat berbuat demikian berikutan perniagaan yang
dirancang telah muflis terlebih dahulu,” katanya.
Pada masa yang sama, Muhammad Zharif memberitahu,
pihaknya turut bimbang kewujudan pasar mini itu nanti akan mendedahkan orang
Islam kepada penjualan minuman keras terutama di kawasan perumahan yang dihuni
penduduk majoriti Melayu.
“Pada masa ini hanya kedai serbaneka 7-Eleven
yang menjual arak dan kita bimbang penjualan arak akan berleluasa apabila turut
dijual di pasar-pasar mini ini,” ujarnya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130708/wk_01/Peniaga-runcit-terancam#ixzz2YdBy9Hza

© Utusan Melayu (M) Bhd