Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
824) BERITA BERNAMA, UTUSAN ONLINE, HARIAN METRO 13/7/13-Harga naik, pengguna diajak boikot ayam!
14 Jul 2013

KUALA LUMPUR 12 Julai – Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) hari ini mengajak pengguna memboikot ayam buat sementara waktu,
susulan kenaikan mendadak harga barang keperluan itu sejak dua minggu lepas.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan
itu mampu mengatasi masalah kenaikan harga kerana pembekal terpaksa menurunkan
semula harga jika tiada permintaan.
“Kita sudah mendengar masalah kenaikan harga
ini berulang kali sejak beberapa tahun lalu… kali ini kita harap pengguna
mengambil langkah bijak untuk mengatasi masalah yang sama dengan tidak membeli
ayam dalam tempoh tiga hingga empat hari,” katanya ketika dihubungi
Bernama.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu bertindak
segera bagi membendung kenaikan harga ayam di pasaran yang sering berlaku
ketika Ramadan dan kenaikan kali ini dijangka berlanjutan sehingga Aidifitri.
Kenaikan harga ayam yang meningkat secara mendadak
melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80 sekilogram, menyebabkan
pengguna bimbang terpaksa menanggung kos lebih tinggi pada masa akan datang.
Tinjauan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor
mendapati pasar raya masih menjual ayam pada harga yang berpatutan iaitu
sekitar RM7.50 sekilogram.
Bagaimanapun harga ayam yang dijual di pasar tani
jauh lebih tinggi iaitu antara RM8.50 dan RM9 sekilogram.
Seorang suri rumah, Siti Rohani Yaakob, 47
menyokong cadangan PPIM agar pengguna memboikot barangan yang harganya naik
secara mendadak.
“Harga ayam kerap meningkat terutama di
sekitar pasar-pasar tani apabila tiba musim perayaan. Saya harap kerajaan ambil
tindakan serius dalam mengawal harga barangan bukan hanya pada musim perayaan
tetapi secara berterusan untuk menjamin kebajikan rakyat,” katanya.
Ibu kepada lapan anak, Rogayah Ahmad, 64, pula
berkata, beliau menyedari peningkatan harga barang mentah terutama ayam pada
setiap tahun, tetapi tetap membelinya bagi memenuhi keperluan keluarga.
“Saya terpaksa berbelanja lebih untuk membeli
ayam kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai, jika harga terus meningkat ia
akan memberi kesan kepada kami sekeluarga,” katanya.
Pesara polis, Abdul Aziz Yusuf, 64 berkata, beliau
mula menyedari harga barang naik sejak April lalu namun tidak menyangka harga
barangan naik mendadak sehingga RM9 sekilogram pada bulan Ramadan ini.
Beliau berharap kerajaan dapat mengawal situasi itu
dan memastikan harga kembali kepada asal dalam masa terdekat. – BERNAMA
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130712/dn_31/Harga-naik,-pengguna-diajak-boikot-ayam!#ixzz2Z0G09Pfr © Utusan Melayu (M) Bhd