Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
826) RENCANA UTUSAN MALAYSIA-BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
14 Jul 2013

BENAR kata Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) bahawa masalah kenaikan harga ayam berulang kali kita dengar
sejak beberapa tahun lalu.
Sebagai usaha mengatasinya, PPIM
menyarankan supaya pengguna memulaukan ayam buat sementara waktu supaya dapat
mengekang tindakan pihak tertentu memanipulasi harga ternakan itu.
Namun, keberkesanan pelaksanaannya amat
tertakluk kepada tindakan yang seragam daripada pengguna. Tanpa tindakan
menyeluruh dalam kalangan pengguna, ia mungkin tidak mendatangkan kesan seperti
yang dikehendaki.
Akibatnya aktiviti mengambil untung
berlebih tetap berlaku setiap kali musim permintaan terhadap ayam meningkat
seperti kedatangan Ramadan dan menjelang musim perayaan.
Permintaan terhadap ayam di negara kita
pada hari biasa ialah 1.2 juta ekor tetapi ia meningkat kepada 2.2 hingga 2.4
juta ekor sehari pada bulan Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri. Keadaan itu
pasti dimanipulasi oleh pihak tertentu kerana harga ayam di ladang masih
sekitar RM5 sekilogram. Akibatnya harga ayam sekarang mencecah RM8.50
sekilogram, melepasi harga siling RM7.80.
Langkah Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani membenarkan import bahagian-bahagian ayam dari China berkuat
kuasa serta-merta diharap dapat membantu menyekat aktiviti mengambil keuntungan
berlebihan sekarang.
Awang yakin lambakan bekalan di pasaran
dengan disertai kempen mengurangkan makan ayam buat sementara waktu ini yang
dibantu dengan kesederan kuasa pengguna sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan
tabii peniaga yang tidak beretika ini.
AWANG – Ayam oh ayam!