Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
836) UTUSAN MALAYSIA 17/7/13-Apakah lagi penghinaan bakal menanti umat Islam?
19 Jul 2013

KENAPAKAH penganut
agama lain semakin berani menghina umat Islam?
Itulah persoalan
yang bermain dalam fikiran kita dengan tercetusnya kontroversi terbaharu
apabila pasangan, Alvin Tan dan Vivian Lee memuatkan gambar yang menghina Islam
dalam Facebook mereka.
Kedua-dua bekas
pelajar Universiti Nasional Singapura seakan-akan mempersenda kedatangan
Ramadan apabila memuat naik gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan
kapsyen ‘Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)… wangi,
enak dan menyelerakan’.
Mereka turut menulis
yang seakan-akan menyindir iaitu: “Izinkan kami memperkenalkan cara kami
memupuk semangat 1Malaysia dengan bertukar-tukar makanan antara kaum-kaum
Malaysia pada musim perayaan yang mulia ini.”
“Hak untuk
menikmati juadah enak tempatan seharusnya merentasi batasan bangsa dan juga
agama. Kepada saudara-saudari yang beragama Islam, selamat berbuka puasa dan
Salam Aidilfitri!”
Tidak cukup dengan
itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.
Pasangan berkenaan
sebelum ini telah mendapat perhatian ramai apabila memuat naik gambar dan video
aksi seks mereka di dalam blog.
Peguam Negara, Tan
Sri Abdul Gani Patail dalam satu sidang media semalam menyatakan pasangan
terbabit mungkin disiasat mengikut Akta Hasutan ekoran tindakan menyiarkan
gambar di Facebook yang mengundang kemarahan orang Islam.
Selain Akta Hasutan,
tambah beliau, pasangan terbabit juga boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman lebih rendah.
Kenyataan itu adalah
sebagai komen terhadap langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)
mengambil keterangan daripada kedua-dua mereka mengikut Seksyen 233 akta
berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda
maksimum RM50,000 atau kedua-dua sekali.
Turut memberikan
reaksi ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
yang menegaskan, kes yang melibatkan pasangan terbabit harus ditangani mengikut
Akta Hasutan atau di bawah Kanun Keseksaan, bukan setakat Akta Komunikasi dan
Multimedia.
Katanya, beliau juga
akan membangkitkan ketika mesyuarat Kabinet isu penghinaan terhadap kesucian
agama Islam yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Kita menyambut baik
kenyataan yang telah dibuat oleh Abdul Gani dan Ahmad Shabery berkenaan.
Bagaimanapun kita berharap apa yang diungkap itu bukan sekadar untuk meredakan
kemarahan umat Islam semata-mata, sebaliknya harus diteruskan di peringkat
pendakwaan dan hukuman.
Selain itu,
permohonan maaf pasangan terbabit yang disiarkan melalui YouTube tidak harus
dijadikan alasan oleh pihak berkuasa untuk tidak mengambil sebarang tindakan.
Kebimbangan ini
berasaskan pengalaman lampau yang menyaksikan pejabat Peguam Negara memutuskan
untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu yang menghina Islam dan
mengeluarkan kenyataan berbau perkauman walaupun setelah pihak polis dan SKMM
selesai melakukan siasatan.
Antaranya, kes yang
melibatkan, Wee Meng Chee atau Namewee yang memuat naik klip video mencerca dan
menunjukkan isyarat lucah yang ditujukan kepada pengetua sebuah sekolah di
Kulai, Johor serta klip video Negarakuku yang menghina lagu kebangsaan dan
laungan azan Subuh.
Walaupun dalam kes
klip video yang menghina pengetua itu, Namewee disahkan melakukan kesalahan di
bawah Akta Komunikasi dan Multimedia tetapi pendakwaan tidak dibuat dengan
alasan mangsa tidak tampil sendiri untuk membuat aduan dan mengambil tindakan
undang-undang ke atas lepasan universiti di Taiwan itu.
Akta Hasutan pula
tidak dikenakan dengan alasan klip video yang dihasilkan Namewee itu bukan
hanya mendatangkan kemarahan kepada kaum Melayu sahaja malah turut mengguris
hati rakyat Malaysia keseluruhannya yang berbilang kaum.
Dalam kes lain,
hukuman ringan iaitu denda RM2,000 telah dikenakan terhadap tiga remaja yang
menyimbah cat dan membaling botol arak di sebuah surau di Sikamat, Negeri
Sembilan pada 2010 walaupun pendakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan
memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, ibu
bapa ketiga-tiga remaja terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka
kepada umat Islam di atas keterlanjuran anak mereka.
Bagi Presiden
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad
yang bimbang dengan trend penghinaan terhadap umat Islam yang semakin
menjadi-jadi, pihak berkuasa harus bertindak tegas bagi memastikan ia tidak
berterusan.
Beliau berkata,
mana-mana pihak yang cuba menjadikan kesucian Islam sebagai bahan permainan
mereka perlu dihukum.
“Mereka bukan
sahaja perlu diberi amaran tetapi dikenakan tindakan keras kerana perbuatan
melampau ini tidak boleh diterima oleh umat Islam.
“Tindakan tegas
ini amat perlu sebagai pengajaran kepada pihak-pihak yang bertindak secara
sangat kurang ajar dengan niat untuk menguji umat Islam,” katanya.
Menurut Ismail Mina,
selain pendekatan undang-undang, kerajaan juga perlu memperkenalkan satu
mekanisme tapisan bagi menghalang media sosial disalahgunakan.
Bagi Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, tindakan pihak
yang menyalahgunakan kebebasan bermaklumat di Malaysia adalah merupakan racun
kepada kemakmuran negara.
Katanya, tindakan
pihak berkenaan sekiranya tidak dibendung boleh menyemarakkan sentimen
perkauman dan keagamaan.
“Saya bimbang
keadaan akan semakin parah sehingga mencetuskan perpecahan perpaduan pelbagai
kaum dan agama di negara ini,” katanya.
Sama-samalah kita
menunggu adakah pihak berkuasa akan memenuhi janji mereka untuk mengenakan
tindakan tegas terhadap pasangan terbabit.
Jika mereka
dibebaskan dengan alasan meminta maaf sudah mencukupi, satu gerakan massa
perlulah dibuat oleh umat Islam untuk memperbetulkan keadaan.
Kenapakah kita harus
bersabar dan bersikap sederhana jika pihak lain tidak segan silu untuk
menyentuh sensitiviti agama umat Islam dan berusaha menjejaskan keharmonian
negara?
Jika rakyat India
boleh bangkit mendesak enam lelaki yang merogol dan membunuh seorang pelajar
perubatan dikenakan hukuman berat, kenapa kita tidak boleh melakukan perkara
sama?
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130717/re_05/Minta-maaf-bukan-penyelesaian#ixzz2ZT3tnNNY © Utusan Melayu (M)
Bhd