Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
860) BERNAMA 12/8/13-Hati-hati beli barangan kulit, pinggan mangkuk online
24 Aug 2013

KUALA LUMPUR 12 Ogos
– Pengguna Islam dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli barangan kulit
dan pinggan mangkuk secara online atau dalam talian kerana dikhuatiri
mengandungi unsur haram.
Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pembelian
melalui Internet boleh menimbulkan kekeliruan kerana gambar yang tidak jelas.
“Sedangkan
pembelian di kedai pun masyarakat boleh tersilap pilih, apa lagi sekadar
melihat gambar di Internet. Contohnya, kalau dahulu ada tanda tiga titik pada
barangan kulit, kita tahu ia diperbuat daripada kulit babi.
“Tetapi dengan
teknologi moden masa kini, walaupun tidak mempunyai tanda tiga titik, ia tidak
semestinya tidak diperbuat daripada kulit babi,” katanya kepada Bernama.
Di samping itu
Nadzim berkata, perkakasan dapur khususnya pinggan mangkuk juga perlu diberi
perhatian kerana kebanyakan yang dibuat di luar negara berkemungkinan
mengandungi campuran tulang.
“Bukan hanya
sumber daripada babi itu haram tetapi pinggan yang mengandungi campuran tulang
lembu juga haram sekiranya lembu itu tidak disembelih,” katanya.
Nadzim berkata,
pengguna Islam perlu memastikan produk yang dibeli diperbuat daripada sumber
yang sah kerana ia adalah hak setiap umat untuk mendapatkan barangan yang bersih
dan halal kerana ia mempengaruhi amalan serta ibadat.
Menurutnya, pengguna
tidak harus menilai rupa bentuk dan harga murah yang ditawarkan semata-mata
tetapi perlu mendapatkan jaminan penjual antaranya dengan menyertakan sijil
sebagai bukti.
Katanya gaya hidup
masyarakat yang lebih gemar membeli barangan unik dan dianggap eksklusif perlu
diubah kerana untuk mendapatkan yang unik, orang ramai kadang kala tersilap
langkah sehingga terbeli barangan yang tidak sepatutnya.
Justeru beliau
menyarankan masyarakat supaya membeli sesuatu produk di kedai kerana ia bukan
sahaja membolehkan pembeli berinteraksi secara terus dengan peniaga tetapi juga
dapat menilai kualitinya. – BERNAMA
  
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130812/dn_24/Hati-hati-beli-barangan-kulit,-pinggan-mangkuk-online#ixzz2csM9gUwJ © Utusan Melayu (M)
Bhd