Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
867) UTUSAN MALAYSIA 17/8/13: Malaysia digesa ambil inisiatif
25 Aug 2013

KUALA LUMPUR 16 Ogos
– Malaysia perlu menyatakan pendirian rasmi mengenai insiden pertumpahan darah
di Mesir dan mengambil inisiatif menggerakkan negara-negara Islam khususnya
dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke arah menghentikan konflik yang
berlaku.
Pengerusi Gabungan
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kerajaan
boleh memanggil negara Islam lain untuk bersidang bagi mengutuk dan membantah
di samping mencari langkah drastik menghentikan krisis berdarah di negara
tersebut.
“Kita sangat
bimbang krisis ini tidak berhenti di sini yang mana akan berterusan,
penyembelihan, malapetaka kemanusiaan dan politik dunia Islam bertambah celaru
pada masa akan datang.
“Tindakan ganas
dan tidak berperikemanusiaan pasukan keselamatan Mesir terhadap penunjuk perasaan
yang berhimpun secara aman menuntut legitimasi berasaskan Perlembagaan dikutuk
sekeras-kerasnya,” kata Abdullah Zaik.
Beliau berkata
demikian sebelum menyerahkan memorandum bantahan daripada sembilan NGO kepada
wakil Kedutaan Mesir di sini hari ini.
Kira-kira 50 wakil
daripada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Persatuan Belia Islam Nasional
(Pembina), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Islam Gabungan Amal (PER3), Persatuan
Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam
(Pembela), Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan Yayasan Nassar
itu berkumpul pukul 10 pagi di Kedutaan Mesir.
Dunia terus mengecam
tindakan kekerasan diambil oleh pasukan keselamatan Mesir ke atas penyokong
Mohammed Mursi yang digulingkan, apabila sehingga semalam dilaporkan telah
mengakibatkan kira-kira 2,200 orang mati manakala 10,000 yang lain cedera.
White House dalam
kenyataannya turut mengutuk keganasan itu serta pengisytiharan semula darurat
di Mesir dan memberi amaran kepada kerajaan sementara yang disokong oleh
tentera bahawa ‘dunia sedang memerhatikan mereka’.
Sementara itu,
Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa berkata, pihaknya berharap
kerajaan Malaysia lebih responsif terhadap apa yang berlaku dengan memanggil
Duta Mesir di negara ini untuk memberi penjelasan selain turut membuat bantahan
secara rasmi.
“Kita bukan
mahu mencampuri urusan dalaman sesebuah negara tetapi ini isu berkaitan
pembunuhan mereka yang tidak berdosa, rampasan kuasa dilakukan oleh tentera
yang tak diktiraf mana-mana demokrasi moden dan pembunuhan sampai peringkat
dibakar rakyat yang tidak boleh diterima sedikit pun,” tegasnya.
Nasharudin berkata,
negara-negara Islam boleh bergabung tenaga mencari jalan penyelesaian termasuk
bertindak sebagai pengantara antara tentera Mesir dan kerajaan sah yang
dilantik rakyat di bawah kepimpinan Mohammed Mursi.
Setiausaha Agung
Perkasa, Syed Hassan Syed Ali juga menggesa OIC mengadakan sidang tergempar dan
seharusnya tidak mengiktiraf rampasan kuasa oleh tentera Mesir.
“Kita juga
risau dengan nasib pelajar-pelajar kita yang menuntut di sana, sampai bila
perkara ini akan berlarutan yang akan memberi kesan kepada mereka,”
jelasnya.
Dalam pada itu,
beliau melahirkan rasa hairan dan turut mempersoalkan ke mana hilangnya NGO
berkaitan hak asasi dan pertubuhan-pertubuhan yang lantang bersuara seperti
Majlis Peguam dan Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil
(Bersih), Datuk S. Ambiga.
“Mengapa mereka
tidak bersuara dalam soal ini yang secara terang-terangan telah berlaku
kekejaman, malah pembunuhan terhadap rakyat awam yang tidak bersalah,”
katanya.
Di ALOR SETAR,
kira-kira 300 jemaah mengadakan demonstrasi aman di hadapan Masjid Zahir
selepas menunaikan solat Jumaat bagi mengecam kekejaman dilakukan oleh pasukan
keselamatan Mesir ke atas penyokong Mohammed Mursi.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130817/dn_16/Malaysia-digesa-ambil-inisiatif#ixzz2czRuZuLa© Utusan Melayu (M)
Bhd