Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
896) UTUSAN MALAYSIA 8 SEPTEMBER 2013-Kegagalan usahawan Melayu didedah
10 Sep 2013

Ameer Ali Mydin (kanan) menyatakan sesuatu kepada Nadzim Johan (dua, kiri) dan Norni Osman (dua, kanan) dalam Konvensyen Usahawan Melayu di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/WAHIDIN SALIM

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Terlalu bergantung
kepada ‘tongkat’ yang diberikan oleh kerajaan menjadi punca kegagalan ramai
usahawan Melayu, sekali gus menyumbang kepada faktor mereka sukar untuk maju ke
hadapan untuk melebarkan perniagaan.
Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn. Bhd.,
Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, ramai usahawan Melayu tidak mempunyai cukup
pengetahuan dan pengalaman sebelum menceburi bidang perniagaan, malah ada di
antara mereka melakukannya sekadar ikut-ikutan.
“Orang berniaga kita pun hendak
berniaga, tetapi pengetahuan dan pengalaman tidak mencukupi. Apabila sudah
mendapat bantuan untuk memulakan perniagaan, segala urusan diserahkan pula
kepada pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Konvensyen
Usahawan Islam: Bisnes Sebagai Fardhu Kifayah anjuran Mentor Niaga Resources
dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal dan Anak Yatim Melayu
Malaysia (Peyatimas) dan Telekom Malaysia Berhad di sini hari ini.
Kira-kira 500 peserta mengambil bahagian
dalam konvensyen yang menampilkan ahli-ahli panel iaitu Mentor Jutawan Senyap,
Datuk Dr. Rusly Abdullah; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia,
Datuk Nadzim Johan; Pengerusi Minsyam Sdn. Bhd. dan bekas Ketua Pegawai
Eksekutif Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin serta penceramah bebas, Pahrol
Mohd. Juoi.
Ameer berkata, usahawan Melayu perlu
mempunyai sikap ingin belajar dan jangan hanya menyalahkan kerajaan jika mereka
gagal dalam bidang keusahawanan.
“Kita perlu belajar dari bawah. Jika
kita terus menjadi orang atasan, kita tidak akan faham cara orang bawah buat
kerja. Selain itu, dan untuk menjadi usahawan berjaya, kita harus bersemangat
dan mempunyai minat untuk berniaga,” katanya.
Pasar raya Mydin adalah antara peneraju
dalam perniagaan peruncitan dan pemborongan produk-produk yang terdiri daripada
makanan, keperluan rumah, tekstil dan produk fabrik di negara yang diusahakan
oleh usahawan Muslim di negara ini.
Pada masa ini, Mydin mempunyai 100
cawangan di seluruh negara termasuk pasar raya besar, emporium, bazar, pasar
mini (MyMydin), kedai-kedai kemudahan (MyMart) dan cawangan francais (Mydin
Mart) dengan 10,500 pekerja di seluruh negara.