Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
907) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 15/9/13: Antara subsidi produktif dengan tindakan proaktif
27 Sep 2013

DALAM tempoh seminggu ini tentunya isu yang paling
panas dan heboh diperkatakan adalah mengenai kenaikan harga minyak. Tentunya ia
lebih kepada komentar yang negatif daripada positif dengan pelbagai macam
alasan mengikut tahap kefahaman individu yang memberi komen berkenaan. Bila
diteliti didapati lebih banyak yang mengikut perasaan daripada yang mengikut
perkiraan.
Meskipun selalunya Persatuan Pengguna akan
sedaya-upaya menyokong pengguna dalam banyak hal yang berkaitan kepentingan
mereka lebih-lebih lagi berkaitan harga. Tetapi dalam isu kenaikan harga minyak
ini biarlah kita kupasnya mengikut fakta secara lebih rasional supaya pengguna
tidak kehilangan punca dan menganggap bahawa kerajaan tidak prihatin pula.
Semua pihak sepatutnya berlapang dada dengan isu
kenaikan harga minyak ini kerana ia bukanlah sesuatu yang mampu dikekang oleh
kita selamanya seperti mana harga komoditi lain. Kerana itu, kita perlu melihat
sisi positif dengan melihat apa yang sedang dihadapi sekarang. Cuma apa yang
diharapkan bahawa apabila komoditi ini mengalami penurunan, kerajaan patut
turut menurunkannya seperti harga yang selayaknya. Janganlah apabila naik
terlupa pula untuk turun sehingga kita menzalimi dan menafikan hak para pengguna
dan mengambil kesempatan seolah-olah para pengguna tidak peka.
Tentunya dengan kenaikan harga minyak ini akan
memberikan impak yang ketara sama ada besar atau kecil dan kesan rantaian hasil
daripadanya. Di sinilah pula peranan NGO, pasukan penguatkuasa dan para
pengguna bagi memastikan satu kerjasama boleh dilaksanakan dengan teratur agar
tidak ada pihak boleh mengambil kesempatan serta memanipulasikan keadaan bagi
menangguk di air yang keruh.
Sebagai pengguna bijak, kita perlu melihat secara
teliti apa peranan sebenar subsidi dalam negara kita supaya mampu memahami
pelbagai tindakan pemerintah yang sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan
politik dan kepartian. Ia sebenarnya tindakan sejati demi menjaga kesejahteraan
rakyat dan memantapkan ekonomi negara serta menjamin masa depan yang lebih
gemilang.
Subsidi bahan api ini sebenarnya bukanlah subsidi
paling produktif tetapi lebih bersifat kepada pengimbang kepada impak besar
yang mungkin tidak mampu ditanggung oleh rakyat apabila berlaku kenaikan yang
besar. Subsidi ini juga sebenarnya bukanlah dinikmati sepenuhnya oleh golongan
sasaran kerana ia dinikmati oleh semua pihak dan sudah tentu yang paling banyak
menggunakannya akan lebih banyak menikmatinya.
Secara congak mudah, tentulah pemilik kereta lebih banyak
mendapat subsidi daripada pemilik motosikal, manakala pemilik kenderaan besar
mendapat lebih banyak kadar subsidi daripada pemilik kenderaan kecil. Atau kita
boleh katakan orang yang mempunyai lebih banyak kenderaan akan lebih beruntung
dan mendapat lebih banyak subsidi daripada mereka yang hanya ada sebuah
kenderaan sahaja.
Kerana itu, dalam melihat pelbagai komentar nampaknya
ramai yang tidak memahami hakikat di atas dan melemparkan tuduhan bahawa
kerajaan tidak prihatin ataupun kenaikan harga berkenaan sebagai hadiah
daripada kerajaan yang kita undi. Sedangkan ia langsung tidak berkaitan dan
tidak ada kena-mengena. Malahan apa yang sebenarnya berlaku adalah merupakan
tindakan menstabilkan ekonomi dan mengekalkan daya saing negara agar kemakmuran
yang kita nikmati dapat dikekalkan.
Berterusan
Sumber bahan api ini sebenarnya tidak perlu terlalu
banyak diberikan subsidi atas alasan yang diterangkan di atas tadi. Sebaliknya,
subsidi perlu ditumpukan kepada sektor-sektor yang lebih produktif seperti
sektor pertanian, pengeluaran makanan, pendidikan dah kesihatan yang amat
kritikal dan perlukan bantuan secara berterusan.
Sektor-sektor berkaitan sebenarnya boleh memberi
kesinambungan berterusan terhadap usaha-usaha yang sedang dijalankan kerana
setiap ringgit yang dilaburkan akan mendatangkan pulangan. Contohnya di sektor
pendidikan apabila subsidi diberikan maka pendidikan serta kemahiran warga
kerja tempatan dapat ditingkatkan. Jika subsidi ditambah untuk sektor kesihatan
ia akan menghasilkan warga yang lebih sihat dan mampu meningkatkan produktiviti
negara.
Jikalau terlampau banyak tumpuan diberikan dalam
memberi subsidi kepada bahan api ini tentunya akan menjejaskan masa depan
negara kerana subsidi ini tidak memberikan impak jangka panjang dan ia
digunakan dengan kadar segera dan habis begitu sahaja. Oleh itu, tindakan
mengurangkan subsidi ini adalah satu tindakan tidak popular tetapi realistik
dan kena pada masa dan ketikanya.
Malahan sekiranya kita teliti dan perhalusi apabila
harga bahan api meningkat, secara tidak langsung para pengguna terutamanya yang
kurang berkemampuan akan beralih arah kepada pilihan lain untuk menggunakan
pengangkutan. Tentunya ini akan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu dan
kesesakan di jalan raya yang semakin memeningkan kepala dewasa ini.
Sekiranya masing-masing memandu kenderaan ke tempat
kerja bukan sahaja perjalanan menjadi semakin perlahan, masalah tempat letak
kereta, tol dan seumpamanya turut memeningkan kepala. Mungkin tiba masanya
konsep perkongsian kereta satu ketika dahulu diperkenalkan semula. Malahan
pilihan kenderaan awam seperti menyewa teksi secara bulanan juga boleh
difikirkan.
Di mana ada kemahuan di situ tentu ada jalannya. Orang
kata hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Secara mudah, kita perlu berfikir secara positif
apabila berhadapan dengan situasi sebegini tentu ada rahmat di sebaliknya.
Mungkin kita lupa bahawa satu ketika dahulu hubungan keluarga antara suami
isteri dan anak-anak tidak lagi mesra kerana masing-masing memandu kereta
sendiri ke tempat kerja. Kini sudah tiba masanya kita kembali kepada tradisi
lama untuk menaiki kenderaan secara bersama dan mempunyai cukup masa untuk
bermesra dan berbual sesama anggota keluarga sebelum sampai ke tempat kerja.
Pada orang muda, tentu tidak ada salahnya untuk
mencari pilihan lain seperti bermotosikal, berbasikal, berkongsi kereta atau
menaiki kenderaan awam yang sudah semakin baik perkhidmatannya. Malahan dengan
sokongan semua, tidak mustahil negara kita juga mampu memberikan perkhidmatan
pengangkutan awam bertaraf dunia kerana mendapat pulangan yang setimpal dengan
pelaburan yang dikeluarkan.
Pada masa sama, mereka yang selama ini tidak perlu
berkereta seperti golongan pelajar yang masih lagi mengharapkan bantuan ibu
bapa ataupun mereka yang belum berkeluarga bolehlah menstruktur semula
penggunaan kenderaan mengikut keperluan dan bukan menurut nafsu semata-mata.
Kenaikan harga petrol dan pengurangan subsidi ini
bolehlah dianggap sebagai satu tindakan proaktif dalam mengimbangi situasi
ekonomi dan sosial pada masa yang sama. Kita sudah terlalu lama hidup dalam zon
yang amat selesa sehingga terlupa bahawa apa yang kita ada pada hari ini bukan
sesuatu yang terjamin untuk selamanya.
Marilah kita membantu mengurangkan perbelanjaan yang
tidak perlu dan menjadi pengguna bijak kerana hanya diri kita yang berupaya
mencorakkan masa depan diri, keluarga dan negara.
Penulis adalah Penasihat Persatuan Pengguna Islam
Malaysia.