Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
938) UTUSAN MALAYSIA 19/10/13-Tambang baharu teksi diumum awal 2014
05 Nov 2013

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kadar tambang teksi yang
baharu akan diumumkan pada suku pertama tahun depan selepas pelbagai perkara
diteliti oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata,
kadar baharu itu akan mengambil kira kos utiliti, penyelenggaraan dan kos lain
yang ditanggung oleh syarikat dan pemandu teksi.
Menurutnya, sejajar dengan tambang baharu itu
nanti, pengusaha dan pemandu teksi perlu memberi khidmat terbaik serta setimpal
dengan kadar yang dikenakan.
”Kadar tambang baharu akan diketahui awal tahun
hadapan, berkemungkinan akan berlaku kenaikan tetapi tidak membebankan pengguna,”
katanya selepas Majlis Pelancaran Program Interaksi Bersama Pengguna, Industri
Teksi dan SPAD – Kajian Kadar Tambang Teksi di sini hari ini.
Pada 18 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak mengumumkan SPAD sedang mengkaji semula kadar tambang teksi
dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup pemandu teksi dan menambah baik mutu
perkhidmatan teksi.
Najib berkata, langkah itu perlu antara lain
berikutan peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung pemandu teksi.
Dalam pada itu Syed Hamid berkata, program
interaksi yang dilancarkan itu bertujuan mendapatkan maklum balas sebelum kadar
tambang baharu tersebut diputuskan.
Bagaimanapun, katanya, program interaksi kali ini
dilihat lebih menyeluruh kerana melibatkan semua peringkat industri teksi iaitu
daripada pengguna, penguat kuasa, pengusaha dan pemandu teksi.
”Kita memberi masa 10 minggu dan berkemungkinan
resolusi daripada program interaksi ini akan menghasilkan kertas kerja mengenai
kadar tambang baharu,” katanya.
Mengulas gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) supaya suruhanjaya itu memantau perjanjian sewa beli teksi yang
disifatkan terlalu menindas golongan pemandu teksi di negara ini, Syed Hamid
berkata, perkara itu di luar bidang kuasa SPAD.
Namun, katanya, SPAD telah menjalankan kajian
mengenai rungutan dan aduan yang diterima daripada pemandu yang berasa ditindas
oleh syarikat pengusaha teksi.
”Kita sentiasa memantau perkara ini. Apabila kita
membuka hasil laporan kita, setiap pemandu teksi mempunyai cerita tersendiri.
Ada yang berpuas hati dengan perjanjian itu dan ada yang tidak,” katanya.

Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131019/dn_15/Tambang-baharu-teksi-diumum-awal-2014#ixzz2jl8oVW5N
© Utusan Melayu (M) Bhd