Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
954) ABN NEWS : 90% premis makanan guna semula minyak masak terpakai
05 Nov 2013

Oleh Asyraf Fauzi (asyraf.fauzi@abnxcess.com)
KUALA LUMPUR – Hampir 90 peratus peniaga premis
makanan didakwa menggunakan semula minyak masak terpakai untuk menyediakan
hidangan kepada pelanggan.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Aktivis Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dalam satu sidang media yang
diadakan di sini, hari ini.
Menurutnya, penggunaan minyak masak kitar semula
boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna dan tidak diketahui status halalnya.
“Penggunaan minyak masak kitar semula ini boleh
mengakibatkan masalah kesihatan serius seperti darah tinggi, kerosakan hati,
barah dan sakit jantung. Status halal minyak tersebut juga tidak diketahui
kerana ia mungkin dikutip dari restoran-restoran yang menyajikan makanan tidak
halal.
“Ia juga akan mencemarkan nama baik Malaysia
sebagai negara hab halal dunia kerana terdapat minyak masak kitar semula yang
tidak diketahui status halalnya, dicampur dengan minyak sawit sebelum dieksport
ke luar negara,” kata Nadzim.
Jelasnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab
yang mengutip minyak masak terpakai dari restoran dan mengitar semula minyak
tersebut untuk kegunaan sama sebenarnya sudah lama berlaku di Malaysia.
“Kebenaran untuk mengutip minyak masak terpakai
hanya diberi untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk dijadikan biodiesel, bukan
minyak masak kitar semula.
“Namun mereka ini menipu pekedai dengan mengatakan
kutipan dilakukan untuk menukarkan minyak tersebut kepada produk seperti lilin
atau sabun,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai supaya tidak membeli
produk minyak masak kitar semula yang boleh didapati dalam bentuk paket dan
sering dijumpai tanpa logo halal.
Turut hadir pada sidang media itu, Pengurus Pembangunan
Perniagaan Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd, Ja’afar Abdullah.
Dalam masa yang sama, Nadzim turut meminta pihak
kerajaan mengambil tindakan dan memantau aktiviti tidak bertanggungjawab demi
keselamatan pengguna.
“Walaupun perkara ini sudah melarat untuk satu
tempoh yang lama, tiada pihak dikatakan bertanggungjawab memantau aktiviti
syarikat yang mengutip minyak masak terpakai dari restoran menyebabkan kegiatan
ini semakin berleluasa.
“Saya harap, akan ada pihak berkuasa yang mengambil
tindakan memantau aktiviti-aktiviti mereka ini untuk membendung gejala ini
daripada terus berleluasa,” katanya.
Beliau terlibat secara langsung dalam kempen
pencegahan pencemaran minyak masak terpakai ke dalam sumber air dengan
mengumpulkannya sebagai bahan kitar semula untuk ditukarkan kepada biodiesel.

Dikatakan terdapat 
kira-kira 100 syarikat dipercayai terlibat dalam aktiviti mengutip
minyak masak terpakai untuk dikitar semula.