Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
966) UTUSAN MALAYSIA 4/11/13-Pecat CEO GLC enggan iklan dalam surat khabar Melayu
05 Nov 2013

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Kementerian Kewangan diminta
bertindak tegas termasuk memecat mana-mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
syarikat milik kerajaan (GLC) yang enggan mematuhi saranan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya mereka mengutamakan iklan dalam surat khabar
berbahasa Melayu.
Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk
Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, saranan Perdana Menteri itu tidak
sepatutnya dipandang sepi oleh GLC terlibat.
“Jadi POKB mahu Kementerian Kewangan lebih
tegas dalam memastikan saranan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu dipatuhi
dan memecat mana-mana CEO GLC yang ingkar dan sengaja mengabaikan tanggungjawab
mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat
dalam Mingguan Malaysia yang menyentuh sikap GLC tidak mengutamakan iklan
kepada akhbar berbahasa Melayu.
Dalam artikel bertajuk GLC dan iklan, Awang Selamat
menyatakan tertarik dengan gesaan pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia
(USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff agar diwujudkan Dasar Pengiklanan Negara
(DPN).
Tambah Sheikh Ahmad Dusuki, pihaknya turut
menyokong gesaan tersebut bagi memastikan pengawalan kepada industri iklan,
menangani lambakan iklan asing dan mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Jelasnya, jika dasar itu tidak dilaksanakan,
dibimbangi juga nasib akhbar-akhbar berbahasa Melayu menjadi seperti akhbar
Utusan Melayu (Jawi) yang telah berkubur kerana tidak ada sokongan daripada
para pengiklan.
“Keresahan Awang Selamat berhubung kajian
terbaharu AmResearch berkenaan perbelanjaan pengiklanan (adex) untuk akhbar
berbahasa Melayu yang merosot turut dirasakan POKB.
“Jadi kita mahu, GLC seperti Celcom, CIMB dan
TM (Telekom Malaysia) mencontohi Bank Rakyat dan RISDA yang sentiasa memberi
keutamaan kepada akhbar berbahasa Melayu dalam setiap iklan dan promosi
mereka,” katanya.
Menurut beliau lagi, majoriti pengguna dan
pelanggan Celcom, TM dan CIMB adalah terdiri daripada orang Melayu.
Sehubungan itu ujarnya, tiada sebab yang boleh
menghalang GLC-GLC tersebut mengutamakan pengiklanan dan promosi mereka dalam
akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia.
“Seperti dinyatakan oleh Ketua Aktivis,
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, bahawa GLC-GLC
lebih banyak memberikan iklan kepada media yang menentang kerajaan semasa
pilihan raya umum lalu dan menjadi senjata untuk melemahkan kerajaan.
“Jadi kami suka mengingatkan pegawai-pegawai
tinggi di semua GLC bahawa mereka berada di tempat yang istimewa dan mendapat
pendapatan lumayan ketika ini adalah kerana dasar-dasar diperjuangkan
akhbar-akhbar Melayu terutama Utusan Malaysia termasuk sejak sebelum merdeka,
kita harap janganlah mereka menggigit jari orang yang beri mereka makan,”
katanya.

Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131104/dn_19/Pecat-CEO-GLC-enggan-iklan-dalam-surat-khabar-Melayu#ixzz2jn5BYnEn
© Utusan Melayu (M) Bhd