Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Ada individu berlegar-legar sebelum tahfiz terbakar, dakwa PPIM – The Malaysian Insight – 16/9/2017
18 Sep 2017

Snapshot(31)

ADA beberapa individu yang kelihatan mencurigakan berlegar-legar dekat kawasan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada malam sebelum kebakaran menjelang Subuh yang membunuh 23 nyawa itu, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pengerusi PPIM, Nadzim Johan merujuk pada imej yang dirakamkan oleh sistem kamera litar tertutup di pejabat persatuan itu yang terletak bersebelahan dengan pusat tahfiz berkenaan.

“Orang kata (kejadian) ada kaitan dengan aktiviti PPIM yang mungkin orang nak balas dendam. Kita tidak berfikiran ke arah itu tetapi tiada yang mustahil. Kita tidak tahu,” katanya kepada media hari ini.

Jelas Nadzim, pihaknya telah bekerjasama dengan polis untuk meneliti rakaman daripada 20 CCTV yang ada di sekitar bangunannya.

Sementara itu, aktivis PPIM Muhamad Zharif Johor yang menguruskan pejabat tersebut berharap maklumat daripada rakaman CCTV dapat membantu pihak polis menjalankan siasatan.

“Kawasan ini kawasan taman dalam antara pukul 7 petang itu memang ada individu-individu yang berlegar.

“Tetapi maklumat itu masih pada polis dan polis yang meneliti maklumat itu. Maksudnya kalaulah ada berlaku kejadian mungkin kita akan dapat suspeknya.

“Sebab CCTV kita boleh nampak pintu depan tahfiz. Jadi diharap ada sebarang petunjuk sekiranya berlaku kejadian khianat,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman sebelum ini tidak menolak kemungkinan ada unsur khianat dalam kebakaran semalam, berdasarkan cara api marak terlalu pantas.

Katanya, keamatan api dalam kejadian itu tidak mungkin berpunca daripada litar pintas.

“Ia bukan berpunca daripada litar pintas Sekiranya memang daripada litar pintas, ia memerlukan 30 minit untuk menjadi marak,” katanya dan menambah, api marak terlalu cepat.

Dalam pada itu, Nadzim turut menggesa satu akta khas diwujudkan bagi mengawal insitusi pengajian tahfiz di seluruh negara.

“Adakah ia perlu berlaku. Kita tidak tuding jari. Siapa yang nak ambil tanggungjawab sebenarnya. Kalau kita yang cuai maknanya kita yang mengundang takdir.

“Kerajaan perlu serius. Sama ada bawah Jakim atau Kementerian Pendidikan. Kita ingin mendesak kerajaan adakan satu akta untuk mengawal pusat tahfiz,” katanya lagi.

Beliau mendakwa lebih 10,000 pusat tahfiz yang beroperasi di seluruh negara. – 15 September, 2017.

http://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/14806/