Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ADUAN JENAYAH SIBER MENINGKAT LEBIH 90 PERATUS KETIKA PKP – BERNAMA – 02/07/2020
02 Jul 2020

CYBERJAYA, 2 Julai — Sebanyak 3,906 aduan dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 dalam tempoh 18 Mac hingga 30 Jun tahun ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), meningkat lebih 90 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kes yang dilaporkan termasuk gangguan siber, penipuan, pencerobohan, percubaan pencerobohan dan spam, yang kebanyakannya berlaku di kawasan bandar yang mempunyai kelajuan internet yang tinggi ketika PKP.

“Pelbagai jenis aduan telah datang kepada kami dengan corak modus operandi yang pelbagai termasuk pakej promosi ejen-ejen yang mengaku mereka dari syarikat telco yang tidak telus,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan memorandum aduan pengguna perkhidmatan telekomunikasi dan jenayah siber oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Pusat Bantuan Cyber999 kendalian MyCERT di bawah CyberSecurity Malaysia memberikan tindak balas kecemasan mengenai hal berkaitan keselamatan komputer seperti gangguan siber, perisian hasad, pencerobohan, cubaan penggodaman dan pelanggaran keselamatan maklumat lain.

Menurut Zahidi, ada pakej tawaran menjanjikan pelbagai kemudahan percuma tetapi dalam beberapa bulan, bil melambung sehingga mencecah RM5,000.

“Kebanyakan mangsa adalah para pelajar sehingga ada yang disenaraihitamkan kerana tidak mampu membayar bil,” katanya.

Isu penipuan siber juga melibatkan penggunaan data peribadi dalam media siber, penipuan siber, penipuan pinjaman mudah dalam talian.

Menegaskan kerajaan memandang serius isu jenayah siber termasuk kes penipuan dalam talian dan judi dalam talian haram, Zahidi berkata perbincangan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity dan syarikat swasta telah diadakan bagi mereka mengambil peranan dalam mengekang jenayah siber yang semakin berleluasa.

Artikel oleh: Bernama

ADUAN JENAYAH SIBER MENINGKAT LEBIH 90 PERATUS KETIKA PKP

https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1856697