Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AH LONG BUKAN MAHU TOLONG – SINAR HARIAN – 17/04/2021
19 Apr 2021

SHAH ALAM – Isu ah long bagai tiada kesudahan apabila masih ada individu yang masuk perangkap lintah darat berkenaan.

Meskipun sudah berulang kali berita mengenai keganasan ah long dipaparkan akhbar, namun ia masih belum menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Ah long merupakan individu yang memberi pinjaman wang secara haram dengan mengenakan bunga yang sangat tinggi. Mereka akan bertindak ganas sekiranya peminjam gagal melunaskan bayaran hutang.

Segelintir mangsa sanggup meminjam wang dengan ah long untuk menjalankan perniagaan.

Ada juga meminjam kerana mahu menyelesaikan masalah kewangan keluarga.

Malangnya, kegagalan membayar balik pinjaman akan disusuli dengan ugutan dan ancaman oleh ah long.

Lazimnya mangsa terjerat kerana telah disenarai hitam oleh bank termasuk ada yang telah diisytihar muflis.

Niat asal mungkin untuk menyelesaikan masalah, namun segalanya menjadi haru-biru selepas mereka ditekan untuk membayar kadar faedah tidak masuk akal oleh ah long.

Malah, terdapat beberapa kes ah long mengenakan kadar faedah hingga 400 peratus daripada jumlah pinjaman.

Bagi mendekati dan menyelami sendiri perasaan peminjam yang menjadi mangsa ah long ini, Sinar Harian melakukan tinjauan di pejabat Satria Risk Mitigation di Bukit Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Agensi itu dilantik oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk membantu mangsa ah long.

Difahamkan agensi itu menerima kehadiran tidak kurang 30 individu dalam sehari yang mempunyai masalah menyelesaikan hutang ah long.

Lebih mengejutkan, ada antara mereka yang mempunyai 114 akaun pinjaman dengan ah long.

KES 1
Tak tahan diugut, ibu tunggal pindah rumah

Seorang ibu tunggal terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman dan ugutan daripada ah long kerana tindakan tidak bertanggungjawab anak lelakinya.

Wanita yang dikenali sebagai Dewi, 60, mendakwa sekumpulan lelaki yang dipercayai ah long pernah muncul di hadapan rumah dan mendesak dia menjelaskan hutang anak lelakinya.

“Saya tidak tahu anak saya yang bekerja di Singapura telah pinjam RM19,000 daripada ah long.

“Saya menerima banyak panggilan dan WhatsApp setiap hari daripada ah long yang memaksa saya melunaskan pinjaman itu,” katanya.

Rumah mangsa turut disimbah cat merah. -Foto: Ihsan Satria Risk Mitigation

Dewi berkata, ah long berkenaan pernah menyimbah cat merah ke rumahnya kerana tidak mampu membayar hutang tersebut.

“Ah long tersebut turut mengugut untuk membakar kereta saya, malah saya turut menerima rakaman video mereka mendakwa telah membakar kereta milik pemimjam yang lain,” katanya.

Wanita itu berkata, dia terpaksa berpindah ke kediaman lain kerana tidak tahan lagi diganggu dengan ah long.

“Walaupun sudah berpindah, hidup saya masih tidak tenteram serta trauma kerana khuatir ah long dapat mengesan rumah baharu ini,” katanya.

Dewi berkata, dia telah membuat laporan polis sebelum tampil meminta bantuan di Satria Risk Mitigation.

Tak tahan diugut, ibu tunggal terpaksa pindah rumah.

KES 2
Tiada modal pusingan punca kontraktor pinjam ah long

Seorang kontraktor terpaksa membuat pinjaman daripada ah long bagi meneruskan perniagaan yang diusahakan sejak lima tahun lalu.

Jalani, 47, berkata, tindakan itu dianggap keputusan terakhir untuk menyelamatkan perniagaan yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 tahun lalu.

“Saya terpaksa buat keputusan berisiko dengan meminjam wang daripada dua ah long dengan jumlah pinjaman RM3,000 dan RM2,000 penghujung bulan lalu,” katanya.

Dia berkata, tidak sampai seminggu ah long pertama telah menghubunginya dan mendesak membayar hutang sebanyak RM25,000.

“Ah long tersebut memarahi dan mengugut kerana saya turut meminjam wang daripada ah long lain.

“Dalam tempoh empat hari sahaja kadar bunga meningkat sehingga lebih RM20,000. Ah long berkenaan telah mendesak saya untuk membayar hutang tersebut,” katanya.

Jalani berkata, pinjaman itu adalah untuk membuat modal pusingan perniagaan serta membeli beberapa bahan binaan.

“Saya berasa takut untuk pinjam ah long, tetapi saya sudah tiada saluran lain untuk mendapatkan wang segera.

“Jika meminjam dengan pihak bank, banyak proses yang perlu dilakukan sebelum permohonan diluluskan,” katanya.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia tidak mahu keluarganya mengetahui tindakannya meminjam wang daripada ah long.

“Saya berharap pihak Satria Risk Mitigation dapat membantu menyelesaikan masalah hutang ah long ini,” ujarnya.

PPIM berjaya selesaikan 20,000 kes

PPIM mengingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan pinjaman ah long sekalipun mengalami masalah kewangan yang teruk.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan tidak menolak kemungkinan ada individu yang terjebak dengan pinjaman ah long ketika menghadapi krisis kewangan.

“Ada segelintir individu bertindak meminjam wang daripada ah long atas desakan kewangan,” katanya.

Nadzim

Nadzim berkata, peminjam yang mempunyai masalah dengan ah long boleh mendapatkan bantuan pihaknya.

“Sebanyak 20,000 kes yang melibatkan puluhan jutaan ringgit telah berjaya diselesaikan melalui Unit Banteras Ceti Haram yang dikendalikan oleh panel profesional PPIM, Satria Risk Mitigation.

“Satria Risk Mitigation telah ditubuhkan sejak 13 tahun lalu kerana keperluan untuk membuat siasatan kes ah long yang diterima,” katanya.

Nadzim berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha menangani isu ah long.

Menurut Nadzim, pihaknya juga pernah menerima ugutan daripada ah long.

“Dahulu kita pernah menghadapi ancaman dan ugutan daripada ah long, berbanding kini mereka sudah ‘mengenali’ kita. Ini memudahkan kita menyelesaikan kes mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Konsultan Kanan Satria Risk Mitigation, Mirzan Nadzim mengakui pihaknya menerima 15 hingga 30 kes aduan berkaitan ah long dalam sehari.

“Kita akan membantu dengan cara berunding dengan mangsa serta ah long untuk matikan bunga hutang, kurangkan jumlah bayaran hutang serta susun balik jadual pembayaran,” katanya.

Mirzan berkata, pihaknya mendapati ah long sering memberi pinjaman dalam jumlah yang sedikit kepada golongan muda.“Ah long itu kemudian akan mendesak mangsa membayar jumlah hutang yang tinggi melalui kadar faedah.

“Mangsa yang terdesak kemudian akan meminjam ah long lain untuk melunaskan hutang. Ia ibarat gali lubang, tutup lubang,” katanya.

Beliau berkata, ada segelintir pengadu yang tampil mendakwa telah meminjam wang daripada 15 atau 40 ah long.

“Paling tinggi kami pernah mendapat aduan daripada mangsa yang mempunyai 114 akaun dengan ah long,” katanya.

Guna media sosial

Seorang lagi Konsultan Satria Risk Mitigation, Ahmad Arif Azizan berkata, ah long kini semakin licik dalam ‘mempromosikan’ tawaran pinjaman melalui media sosial.

“Ah long kini menggunakan media sosial bagi menawarkan pinjaman, berbanding sebelum ini mereka menggunakan kad, poster, bunting yang diiklankan di papan tanda dan hentian bas,” katanya.

Tindakan ah long terhadap mangsa yang tidak mampu melunaskan hutang.

Ahmad Arif berkata, ah long membuat syarat peminjam perlu memuat turun aplikasi khas sebelum pinjaman boleh diluluskan.

“Mangsa kemudian diarah merakam video diri sendiri sambil memegang kad pengenalan dan membuat pengakuan telah meminjam wang daripada syarikat tersebut.

“Jika peminjam gagal membayar hutang, video rakaman itu akan disebarkan kepada semua kenalan dalam senarai telefon bimbit mangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, aplikasi tersebut setakat ini dikesan boleh menceroboh semua maklumat dalam telefon bimbit mangsa.

Menurutnya, pinjaman perlu dibuat menerusi institusi perbankan yang diiktiraf.

“Peminjam boleh bandingkan setiap tawaran yang diberi dan buatlah pilihan yang terbaik dengan mengambil kira faedah dan jumlah potongan bulanan yang dikenakan oleh pihak bank,” katanya.

Jelasnya, jadilah peminjam yang bijak dengan berbincang dengan pihak bank untuk lebih memahami terma dan syarat yang dikenakan.

“Sekiranya orang ramai mahu menceburi bidang perniagaan, kerajaan mempunyai agensi tertentu yang menyediakan dana pinjaman,” kata beliau.

Tegasnya, meminjam daripada ah long bukan jalan menyelesaikan hutang atau mahu memulakan perniagaan tetapi ia mungkin permulaan kepada detik hitam dalam hidup.

Artikel oleh: Sinar Harian

AH LONG BUKAN MAHU TOLONG

https://www.sinarharian.com.my/article/133999/BERITA/Semasa/Ah-long-bukan-mahu-tolong