Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AHLI POLITIK WAJAR CONTOHI DAP, MCA – PPIM – MALAYSIA GAZETTE – 16/02/2021
16 Feb 2021

KUALA LUMPUR – Ahli politik Melayu wajar mencontohi DAP dan MCA kerana kedua-dua parti itu tidak mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan kaum mereka.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, semua ahli politik Melayu seharusnya bersatu agar lebih dihormati.

“Kita pilih nak lemah atau nak kuat dan dihormati. Jika kita bersatu, kita dihormati dan jika kita berpecah kita akan lemah dan akan dihina. Buatlah pilihan bijak dan perlu buang kesombongan dan sanggup berkorban seperti bangsa-bangsa yang berjaya,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru beliau menyeru seluruh rakyat khususnya orang Melayu supaya mengukuhkan perpaduan kerana kesan perpecahan kaum akan mendatangkan kemudaratan.

“Kesan perpecahan kaum ini amat bahaya, jika bukan sekarang, saya khuatir kita akan kehilangan ketuanan Melayu dan nasib kita semua akan berakhir dengan tragedi,” ujarnya.

Terdahulu beliau menyuarakan kekesalan terhadap situasi politik semasa yang menyebabkan ahli politik Melayu saling serang menyerang antara satu sama lain.

“Perkara ini amat memalukan kerana yang mahu memecah belahkan kaum Melayu adalah orang Melayu itu sendiri.

“Melihat perkembangan terkini terutama dalam dunia politik negara, saya bimbang dan mahu rakyat lebih bijak menilai apakah keutamaan kaum Melayu masa kini,” katanya.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

AHLI POLITIK WAJAR CONTOHI DAP, MCA – PPIM

https://malaysiagazette.com/2021/02/16/ahli-politik-melayu-wajar-contohi-dap-mca-ppim/