Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AHMAD ZAHID, NGO BINCANG PELBAGAI ISU DIHADAPI – BERITA HARIAN – 17/01/2022
18 Jan 2022

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima kunjungan daripada ketua dan wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), bagi membincangkan pelbagai isu semasa.

Pada perjumpaan itu, beliau berkata, NGO terbabit menyuarakan kebimbangan dan keresahan mereka mengenai beberapa isu yang sedang dihadapi rakyat.

“Antaranya, berhubung isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu masyarakat yang masih berdepan tekanan ekonomi.

“Mereka turut menyuarakan mengenai isu kesan sampingan dos ketiga vaksin COVID-19 yang rata-rata penerima mengalaminya, selain isu kewajaran pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, turut dibangkitkan ialah isu berhubung pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Selain itu, pindaan untuk menaikkan nilai kompaun hingga RM10,000 yang dikhuatiri akan menambah penderitaan rakyat.

“Sebagai Presiden UMNO, saya memahami mengapa NGO terbabit mencari UMNO sebagai saluran menyuarakan keluhan mereka.

“Ini disebabkan persepsi Perdana Menteri daripada UMNO, maka UMNO adalah kerajaan yang mendukung segala-galanya.

“Mungkin juga mereka putus harapan terhadap saluran sedia ada sehingga mencari saluran politik untuk suara rakyat didengari,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran mereka dan berpendapat kerajaan harus mendengar pandangan NGO.

“Jangan menolak terus kerana pasti ada asas mengenai keprihatinan mereka membawa suara rakyat, suara keramat.

“Dengar, berbincang dan lakukan yang terbaik untuk rakyat, bukan menyanggah dan kemudian mengeluarkan arahan berbeza-beza.

“Saya dan rakan kepimpinan UMNO akan membawa perkara diketengahkan NGO terbabit secepat mungkin kepada kerajaan.

“Ini bukan mainan politik kerana dalam keadaan apa sekali pun, UMNO akan tetap mengutamakan dan memihak kepada rakyat,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

AHMAD ZAHID, NGO BINCANG PELBAGAI ISU DIHADAPI

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/912606/ahmad-zahid-ngo-bincang-pelbagai-isu-dihadapi-rakyat