Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AKTA 342 BERSIFAT SUBVERSIF- PPIM – WACANA.MY – 14/01/2022
17 Jan 2022

KUALA LUMPUR, 14 Jan 2022 – ” Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang ditangguhkan perlaksanaannya baru-baru ini bersifat komunis,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Beliau berpendapat, pindaan undang-undang yang dicadangkan itu memberi kuasa penuh kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk bertindak ke atas mereka yang melanggar SOP Covid-19.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

“Keputusan KP tidak perlu melalui Parlimen, kita bimbang berlaku salah guna kuasa, boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap orang yang tidak salah. Contoh analoginya, ada orang ini hendak jadi Ahli Parlimen, dikenakan akta ini terhadapnya, dia ditahan sehingga menjejaskan peluangnya untuk jadi wakil rakyat.

“Organisasi Cina terbesar, Hua Zong turut bersama PPIM membantah perlaksanaan pindaan akta ini.

“Cuba lihat negara luar seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Jepun pun tak laksana sebarang akta untuk mereka yang tak patuh SOP, atau pakai topeng muka. Ini kerana jadi kesalahan “merampas” kebebasan bergerak, bersuara dan sebagainya.

“Hendak suntik ambil darah kita pun, doktor perlu tanya kita bagi ke dicucuk? Tetapi apa yang berlaku ketika ini rakyat seolah dipaksa sebab jika tiada dua dos terus kata dia Penjenayah Masyarakat,” katanya kepada Wacana.my di pejabat PPIM di sini hari ini.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.

Bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 atau Akta 342, sekali lagi ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

Penangguhan itu turut dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, rang undang-undang tersebut turut memasukkan seksyen baharu di bawah Seksyen 15A iaitu pemberian kuasa kepada pegawai mengeluarkan perintah kepada mana-mana individu yang dijangkiti penyakit atau percaya telah dijangkiti atau mana-mana kontak rapat untuk memakai atau menggunakan peranti pengesanan.

Sebelum ini, di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan boleh dikompaun sehingga RM10,000, manakala syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikompaun sehingga maksimum RM50,000.

Bagaimanapun, pelaksanaannya terbatal setelah Dewan Rakyat meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat pada 25 Oktober lepas.

Artikel oleh: Wacana.my

AKTA 342 BBERSIFAT SUBVERSIF- PPIM

https://wacana.my/akta-342-bersifat-subversif-ppim/