Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AKTIVIS PPIM MENGAKU TIDAK BERSALAH MENCEROBOH – UTUSAN MALAYSIA – 25/10/17
25 Oct 2017

 

Utusan Malaysia ( 25.10.17 )

 

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khasnya, Ali Salimin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang dekat sini hari ini atas dua pertuduhan bersubahat melakukan khianat dan menceroboh sebuah pusat pajak kereta, pertengahan tahun ini.

 

Mengikut pertuduhan pertama, Yusof, 27, dan Ali, 50, didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd. di hadapan stor syarikat tersebut, di Sungai Sikamat, Jalan Cheras, Batu 13 di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 10 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

 Bagi pertuduhan kedua, Yusof dan Ali didakwa bersubahat melakukan pencerobohan jenayah di tempat dan tarikh yang sama di antara pukul 3.30 petang dan 7.30 petang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Ke­seksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes.

Peguam, Mohd. Fadhly Yaacob yang mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon jaminan rendah dikenakan dengan alasan anak guamnya hadir sendiri ke balai polis untuk menyerahkan diri dan tiada sebab untuk mereka melarikan diri.

“Kedua-dua anak guam saya juga perlu menanggung ahli keluarga mereka iaitu Yusof yang merupakan peniaga perlu menanggung enam anak dan isterinya yang tidak bekerja manakala Ali yang bekerja sebagai jurulatih gimnasium pula, perlu menanggung ahli keluarganya termasuk ibu bapanya yang uzur,” kata Mohd. Fadhly.

Kedua-dua tertuduh dibebaskan setelah membayar wang jaminan tersebut.

Sementara itu, Muhamad Yusof ketika ditemui pemberita berkata, beliau tidak terkesan malah akan mengekalkan momentum untuk terus membela nasib para pengguna yang tertindas di negara ini.

“Namun apa yang dikesalkan akibat mereka yang cuba membela atau menjadi saksi pula yang dikenakan tindakan, ditangkap, dituduh dan didakwa di mahkamah menyebabkan ramai yang tidak lagi mahu dan takut untuk memberikan kerjasama bagi menegakkan keadilan,” katanya.

Namun beliau berharap agar aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak putus asa dan patah semangat ekoran beliau terpaksa dihadapkan ke mahkamah ketika berusaha untuk membela nasib mangsa penipuan.

Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seluruh umat Islam diajak untuk bersama-sama PPIM melakukan solat Hajat di Masjid Wilayah bermula pada pukul 6 petang, Khamis ini sebagai tanda sokongan padu menentang penipuan dan usaha-usaha untuk melemahkan semangat pengguna di negara ini.

http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/video-aktivis-ppim-mengaku-tidak-bersalah-menceroboh-1.542326