Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ALONG CAJ BIAYA KERETA SESUKA HATI – HARIAN METRO – 23/09/2019
24 Sep 2019

WUJUD syarikat pembiaya pinjaman kenderaan atau syarikat kredit didalangi along mengenakan caj sesuka hati serta mendesak peminjam supaya melangsaikan pembiayaan penuh atau berdepan kereta dilelong.

Ketua Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar berkata, setakat ini pihaknya menerima 30 aduan mengenai kereta yang akan ditarik biarpun tunggakan baru memasuki tempoh dua bulan.

“Selain itu menghairankan, bagaimana mereka ini bukan saja mendesak agar tunggakan pinjaman dibayar penuh, tetapi mahu semua saman dan bayaran utiliti diselesaikan.

“Kebanyakan mangsa sudah berada pada bulan terakhir pembiayaan.

“Tiba-tiba akan ada caj berbeza daripada jumlah tunggakan dan ketika ingin mengambil balik kenderaan. Sebagai contoh seorang pengadu perlu bayar bulanan RM560, tapi bila keluar surat tarik sehari selepas itu, amaun meningkat kepada RM1,500,” katanya.

Dr Mazlina berkata, pihaknya mempersoalkan bagaimana kereta terbabit akan ditarik walaupun baru masuk tunggakan dua bulan sedangkan mengikut akta hanya boleh berbuat demikian selepas tiga bulan tunggakan.

Menurutnya, jumlah aduan berkaitan semakin meningkat kebelakangan ini dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

“Biro akan merujuk kes ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengelak mangsa dianiaya sindiket yang secara terang-terangan membelakangi undang-undang,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro 

ALONG CAJ BIAYA KERETA SESUKA HATI 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/09/499822/along-caj-biaya-kereta-sesuka-hati